KAHERAH – Setelah bertahun-tahun lamanya, Mohsen al-Khayami dengan perasan sedih menyaksikan perniagaan kraf yang dahulunya mendatangkan keuntungan kini semakin merosot dan rakan sekerja meninggalkan seni lama yang dikenali sebagai ‘Khayamiya’ atau pembuatan khemah, untuk pekerjaan yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Berusia 68 tahun, pakar salah satu seni kraf paling tradisional di Mesir, beliau telah menjahit tampal hias dengan tangan yang kini berkisar daripada hamparan dinding kepada kuilt cadar selama lebih daripada setengah abad, amat lama sehingga pelanggannya telah menamakan beliau sempena seninya.
“Saya mempelajarinya apabila saya berusia lapan tahun,” beritahunya kepada AFP. “Ia mengambil beberapa tahun untuk saya menguasainya dan berjaya menghabiskan seluruh tapestri sendiri.”
Sebelum ini, pertukangan seninya digunakan untuk membuat khemah dan tapestri besar, tetapi telah berkembang kerana permintaan telah berubah.
Pada masa sekarang, Khayamiya merujuk kepada penghasilan barangan hiasan kebanyakannya dalam kapas yang juga boleh termasuk sarung bantal dan tutup tilam bantal, walaupun nama tradisional, pembuatan khemah apabila diterjemah kepada Bahasa Inggeris, dapat bertahan.




Kedai Khayami adalah antara dua dozen kedai lain yang mendereti Jalan Khayamia atau Jalan Pembuat Khemah, bertentangan dengan Bab Zuweila abad ke-11, salah satu pagar utama yang masih bertahan di Kaherah Lama.
Jalan raya itu telah menarik pelancong bertahun-tahun lamanya dan kedai pertukangan menjadi salah satu tarikan utama pelawat asing sehingga pemberontakan 2011 yang mengguling pemerintah lama Hosni Mubarak.
Insiden rusuhan telah menakutkan pelancong, dan sejak itu perniagaan telah menjadi lembap.
Namun Khayami masih mempamerkan hamparan dinding berhias dan tapestri berwarna-warni penuh dilengkapi dengan motif firaun yang disalin daripada makam lama, corak Arabesque, kaligrafi Kufic peribahasa Arab dan ayat-ayat Al-Quran.
Pada tampal hias lain, Khayami telah melakar cerita atau kisah rakyat Juha Lama, watak lucu dalam budaya Arab, sentiasa digambarkan bersama keldai setianya. Kisah perbuatan kehandalan mereka selalunya menyampaikan pengajaran yang bernilai.
Seni Khayamiya yang berusia beberapa abad itu wujud sejak era karavan yang sentiasa mengembara, apabila kawasan khemah yang besar digunakan sebagai pelindung daripada cahaya matahari panas yang membakar di padang pasir.
Ia dipercayai telah muncul ketika dinasti Fatimid, yang memerintah Mesir kira-kira 1,000 tahun lalu, tetapi sesetengah orang berkata ia wujud sejak era raja Firaun.
Hari ini, banyak yang masih digunakan sebagai tirai latar untuk majlis perkahwinan, upacara pengebumian dan perayaan agama pada bulan suci Ramadan serta hari keputeraan Nabi Muhammad yang dikenali sebagai Mawlid.
Bagaimanapun permintaan yang lembap telah mencetuskan kebimbangan di kalangan artisan bahawa seni kraf mereka mungkin semakin luput, terutamanya apabila generasi lebih muda terbukti keberatan untuk mempelajari pertukangan itu, memilih sumber pendapatan yang lebih stabil.
Khayami berkata adalah sukar untuk mengetahui jumlah sebenar tukang Khayamia yang tinggal kerana ramai yang bekerja dari rumah mereka atau bengkel di luar kawasan.
Namun beliau berkata jumlah di jalan raya telahpun merosot bertahun-tahun lamanya, berkurangan kepada kira-kira 20 daripada 60 pada tahun 1980.
Angka yang sama diberikan oleh Mamdouh al-Sheribini, pengarah eksekutif Dewan Industri Handikraf.
“Jumlah orang yang telah meninggalkan seni pertukangan itu telah meningkat sejak tahun 2011. Orang muda tidak mempunyai kesabaran untuk mempelajari kraf yang mengambil masa untuk menguasainya,” kata Khayami.
“Mereka tidak boleh mengendali turun naik pasaran, seperti kami.”
Abdullah Fathy, pembuat Khayamiya berusia 31 tahun, juga berkata ramai meninggalkan pekerjaan itu untuk memulakan perniagaan lain atau mencari pekerjaan lain.
Di kedainya, Fathy, yang mempelajari kraf tersebut pada usia 15 tahun, biasanya duduk bersila di atas bantal, membongkok di depan sehelai fabrik.
Ia boleh mengambil masa seharian untuk menjahit satu tampal hias yang kecil. Tampal hias lain, bertebar sepanjang beberapa meter, boleh mengambil masa sebulan atau lebih bergantung pada kerumitan corak.
Harga boleh bermula daripada 50 pound Mesir dan naik kepada beberapa ribu pound. Namun Fathy enggan meninggalkan perniagaannya.
“Jika pekerja asyik tinggal seorang demi seorang, seni pertukangan itu mungkin menjadi lenyap,” kata Fathy.
Walaupun ramai tukang telah berusaha untuk mempromosi produk mereka di kalangan penduduk tempatan, mereka masih merindu akan hari-hari apabila kedai mereka dipenuhi dengan pelancong.
“Pelancong sebelum ini membentuk kira-kira 98 peratus daripada pelanggan kami. Biasanya mereka yang menghargai usaha yang dicurahkan dalam kraftangan ini, tidak seperti warga Mesir,” kata Mahmoud Fatouh, 48 tahun, dengan kedainya di Khayamiya telah menjadi milik keluarganya sejak awal tahun 1900.
Tanda-tanda sejak akhir tahun 2017 yang menunjukkan pelawat mungkin sedang kembali ke Mesir telahpun membawa sinar-sinar harapan.
“Kami melihat pelancong semakin kerap sekarang,” kata Khayami. “Ia bukan seperti dahulu (sebelum 2011), tetapi ia lebih baik daripada tidak ada apa-apa.”
“Masih adanya harapan,” kata beliau.
“Asalkan negara stabil, pelancong akan terus kembali,” tambah Khayami.
Angka rasmi mengenai pelancongan pada tahun 2018 masih belum diumumkan. Namun pada bulan lalu, pengerusi persatuan ejen pelancongan Mesir, Hossam el-Shaer, berkata pelancong yang tiba di Mesir bertambah sebanyak 40 peratus pada tahun 2018 berbanding dengan tahun sebelumnya, apabila jumlah pelancong mencecah 8.3 juta, menurut agensi statistik CAPMAS.
Namun angka 2018 diumumkan sebelum sebutir bom tepi jalan terkena sebuah bas pelancong pada akhir Disember, membunuh tiga orang warga Vietnam yang sedang dalam percutian, berhampiran piramid terkenal di Giza.
Shaer menegaskan matlamat untuk tahun ini adalah pertambahan sebanyak 30-40 peratus.
Untuk beberapa pelancong yang melawat jalan itu setiap hari, seni Khayamiya masih merupakan satu tarikan.
“Ia adalah sesuatu yang saya minati, tekstil ini, terutamanya salah satu tampal hias ini,” kata David Pullins, seorang pelancong Amerika, yang melawat jalan lama ini pada Disember.
“Ia amat cantik.” – AFP

































