CHENGDU, 20 Mac – Lebih daripada 10,000 barangan emas dan perak yang tenggelam ke dasar sebatang sungai di barat daya Wilayah Sichuan, China sejak 300 tahun lalu berjaya ditemui kembali, menurut ahli-ahli arkeologi.
Barangan tersebut termasuk sejumlah besar syiling emas, perak dan gangsa; barang kemas serta senjata-senjata besi seperti pedang, pisau dan lembing, kata Gao Dalun, Pengarah Artifak Kebudayaan Wilayah Sichuan dan Institut Kajian Arkeologi.
Karakter-karakter yang diukir pada perkakas emas dan perak itu masih jelas dan cetakan-cetakan timbul pada barang kemas menunjukkan ketukangan yang inda, kata ahli arkeologi itu.
Tapak khazanah itu terletak dalam persimpangan Sungai Minjiang dan cabangnya Sungai Jinjiang dan hanya 50 kilometer dari selatan Chengdu, ibu negeri Wilayah Sichuan.
Ia dikatakan bahawa dalam tahun 1646, pemimpin pemberontak petani, Zhang Xianzhong telah ditewaskan dalam kawasan itu oleh askar-askar Dinasti Ming (1368-1644) sementara berusaha untuk memindah hartanya ke selatan.

Kira-kira 1,000 bot yang dipenuhi dengan wang dan barangan berharga karam ketika pertempuran kecil itu.
“Objek-objek ini telah membantu mengenal pasti kawasan di mana pertempuran itu berlaku dan merupakan bukti secara langsung bagi peristiwa bersejarah ini,” kata Wang Wei, seorang arkeologi Cina.
Sichuan melancarkan projek eksplorasi itu dalam bulan Januari ketika tibanya musim kering. Beberapa pam air digunakan untuk mengeringkan sebahagian sungai itu dari pagi hingga malam. Ratusan meter dasar sungai itu kelihatan selepas ahli-ahli arkeologi menggali lima meter ke bawah, di mana mereka menemui artifak-artifak itu.
“Barangan itu amat berharga bagi sains, sejarah dan seni. Ia begitu penting bagi penyelidikan dalam politik, ekonomi, ketenteraan dan kehidupan sosial Dinasti Ming,” ujar Li Boqian, seorang arkeologi dari Universiti Peking.
Ahli-ahli arkeologi berkata penggalian itu akan diteruskan sehingga April dan pasukan itu menjangka untuk mencungkil lebih banyak barangan. – Xinhua