KHEDN adakan kempen kebersihan di seluruh negara

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Jabatan Daerah Tutong

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Usaha terus dipertingkatkan bagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah akan mengadakan kempen kebersihan di premis-premis, pasar-pasar, gerai dan tamu di seluruh negara bermula pada 15 April. Kempen berkenaan bermula di Daerah Tutong, di mana Jabatan Daerah Tutong mengadakan kempen pembersihan di Gerai Mukim Telisai, hari ini, yang disertai oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sukarelawan dan para penjaja.

Hadir semasa kempen berkenaan ialah pegawai Daerah Tutong, pemangku penolong pegawai Daerah Tutong, ketua Kampung Telisai, stesen komander Balai Bomba Bukit Beruang, Sukarelawan Belia Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Tutong, penjaja gerai serta kakitangan Jabatan Daerah Tutong. Para peniaga pasar, gerai atau tamu dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dan mengikut arahan yang diberikan dalam memastikan kempen kebersihan ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Kempen itu ialah inisiatif KHEDN dalam memastikan persekitaran yang bersih dan selamat manakala Kementerian Kesihatan menyeru supaya penjagaan kebersihan sepanjang masa juga menjadi sandaran untuk kempen ini dilaksanakan.

Kempen pembersihan yang diteruskan di Gerai Mukim Telisai, kelmarin.