KHEDN adakan kempen kebersihan di tamu dan pasar-pasar

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Ke arah mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam,  Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan bandaran dan Jabatan Daerah akan mengadakan kempen pembersihan premis pasar, gerai dan tamu di seluruh negara bermula hari ini.

Di Daerah Tutong, Kempen Pembersihan Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, telah diadakan hari ini, dikendalikan bersama oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah Tutong, dengan penglibatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, sukarelawan serta para penjaja.

Hadir semasa kempen pembersihan berkenaan ialah pegawai Daerah Tutong, pengerusi Lembaga Bandaran Tutong dan ahli-ahli Lembaga Bandaran Tutong.

Para peniaga pasar, gerai atau tamu dinasihatkan agar memberikan kerjasama dan mengikut arahan yang diberikan dalam memastikan kempen pembersihan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kempen berkenaan adalah inisiatif KHEDN dalam memastikan persekitaran yang bersih dan selamat selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan supaya penjagaan kebersihan sepanjang masa yang menjadi sandaran untuk kempen tersebut dilaksanakan.

Kempen Pembersihan Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong yang dikendalikan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Bandaran dan Jabatan Daerah Tutong.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) turut terlibat dalam kempen kebersihan tersebut.