Wednesday, November 13, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEDN adakan sesi muzakarah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Sesi muzakarah merupakan salah satu platform bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) untuk berkongsi maklumat terkini, pendekatan serta pencerahan mengenai perkembangan perkhidmatan, dasar dan peraturan, pencapaian serta inisiatif kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Semua itu adalah diselaraskan kepada Pelan Strategik KHEDN, khasnya dan pembangunan negara amnya dalam mencapai Wawasan Brunei 2035. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya ketika mempengerusikan Sesi Muzakarah KHEDN bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Serba guna, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, hari ini.

    Yang Berhormat Dato menyatakan harapan sesi itu dapat menjadi medan untuk mengupas segala persoalan serta mencetuskan idea-idea baharu bagi pembaharuan dan penambahbaikan yang telus, konkrit serta substantif.

    “Tujuannya adalah untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang relevan, sesuai dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran, demi mewujudkan strategi yang lebih menyeluruh, inklusif dan selaras dengan Wawasan Brunei 2035 melalui penerapan dan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation,” tambah beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyatakan bahawa usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian dan 12 buah jabatan di bawahnya adalah selaras dengan tiga aspirasi dalam Pelan Strategik KHEDN. Aspirasi berkenaan, tambahnya, bertujuan untuk mendukung visi kementerian iaitu Bersama Mengekalkan Brunei Darussalam Yang Aman, Makmur dan Dinamik.

    “Fokusnya adalah termasuk pengukuhan infrastruktur, dasar dan strategi keselamatan, peningkatan kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat serta persekitaran yang bersih, penaiktarafan infrastruktur, sokongan kepada aktiviti perekonomian dan peningkatan kapasiti tadbir urus pegawai serta kakitangan kementerian, termasuk penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung sebagai enabler dan pemangkin pelaksanaan inisiatif.”

    Rombongan ahli MMN berkenaan telah diketuai oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed. Sesi muzakarah itu adalah sebuah platform bagi ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk mendengarkan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan serta perancangan strategik KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Ia juga dapat mengongsikan pandangan dan buah fikiran daripada ahli MMN dan apa jua perkara atau isu yang memerlukan perhatian pihak kementerian dan jabatan demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ke arah kesejahteraan masyarakat, orang awam dan pembangunan negara.

    Ahli MMN juga berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih dekat lagi bersama pihak pengurusan atasan KHEDN serta ketua-ketua jabatan dan bahagian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar ramai semasa majlis berkenaan.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sesi Muzakarah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Serba guna, Bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.– GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda