KHEDN bertahlil di kubah

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan ke-50 bagi Tahun
2020, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Kubah Makam Diraja, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bandaran BSB, majlis berkenaan mempunyai signifikan kenegaraan dalam me-ngenang jasa seorang raja dan Ulul Amri yang juga digelar sebagai Arkitek Brunei Moden yang sangat dikasihi.

Bandar Seri Begawan telah melalui pelbagai kemajuan dan perkembangan yang pesat dari segi pembangunan dan infrastruktur dengan kemudahan dan prasarana awam serta taman riadah juga disediakan untuk dinikmati oleh rakyat dan penduduk dalam suasana bernegara dan beribu kota yang selesa, aman, tenteram serta diredai Allah SWT.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli Lembaga Bandaran BSB, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah KHEDN serta penghulu-penghulu mukim dalam kawasan Bandar Seri Begawan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Gadong, Awang Mohammad Adham bin Hashim disusuli dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bersama warga kementerian berkenaan ketika hadir pada majlis tersebut.