Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) mendapat peruntukan sebanyak $131.77 juta ($131,770,750.00) bagi perbelanjaan tahun kewangan 2017/2018 yang dianggap tepat dan mendokong sasaran untuk belanjawan berhemah, apatah lagi melihat senario pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong menjelaskan perkara itu semasa menyampaikan mukadimah di Majlis Permesyuaratan ke-13, Hari ke-4 Majlis Mesyuarat Negara hari ini.
Menurutnya daripada jumlah itu sebanyak $94.8 juta diperuntukkan bagi gaji kakitangan dan $36.8 juta bagi perbelanjaan berulang-ulang.
Kementerian juga menghadapi berbagai cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan kaedah dan prosedur penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai akan sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan mesra pelanggan, cekap dan memenuhi matlamat.
Maka selaras dengan kaedah program dan performance budgeting kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya telah merangka strategi dan perancangan bagi membantu negara ini meningkatkan perpaduan masyarakat, memangkinkan sosial ekonomi dan mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, sebanyak 40.5 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan adalah bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan rakyat dan penduduk bermula dari peringkat akar umbi, selaras dengan Wawasan 2035 di bawah strategi pembangunan institusi diamanahkan ke atas kementerian dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Manakala bagi keselamatan dan kesejahteraan, sekurang-kurangnya 59.5 peratus dipohon untuk memelihara keselamatan (National Type) melalui kaedah-kaedah pengawalan tertinggi dan berteknologi tinggi, termasuk pemantauan keluar dan masuk warga asing, pencegahan kebakaran dan menyelamatkan nyawa, pengurusan bencana alam dan pemulihan banduan. Ia juga akan dibelanjakan bagi memantapkan keupayaan sumber tenaga manusia dan potensi pegawai dan kakitangan ke arah menjana perpaduan negara yang mapan.
Yang Berhormat Pehin turut menekankan bahawa kementerian telah pun melaksanakan beberapa strategi dan akan terus melaksanakan program dan inisiatif bagi sama-sama mendukung Wawasan 2035.
Ini termasuklah melakukan perubahan dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkepentingan dalam mewujudkan suasana pro-perniagaan di negara ini, misalnya pembaharuan ke atas pengeluaran lesen pekerja asing atau A.P.A yang disingkatkan daripada 41 hari kepada tujuh hari sahaja, sekali gus memastikan aktiviti perniagaan sentiasa menggalakkan dan memberangsangkan.
Menurutnya lagi, usaha-usaha memberigakan inisiatif ini giat dilaksanakan melalui sesi dialog stakeholder industri dan saluran media.
Kementerian juga memastikan setiap mukim dan kampung mempunyai produk masing-masing dan setakat Januari tahun ini, sejumlah 76 buah kampung mempunyai produk berdaftar serta menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi berkepentingan untuk mendapatkan sijil halal pengiktirafan pakej pelancongan, khidmat kepakaran, teknologi dalam pertanian dan perikanan agar ia boleh menembusi pasaran tempatan dan luar negara.