KHEDN lancar sistem E-Undi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Sistem e-undi bagi Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon-calon Penghulu Mukim dan Ketua Kampung (PMKK) dibangunkan dengan matlamat menambah baik proses pengundian dan pemilihan calon-calon PMKK menggunakan sistem pengundian secara elektronik (online voting) sebagai alternatif tambahan kepada kaedah yang sedia ada menggunakan kaedah konvensional.

Sistem dan aplikasi E-Undi PMKK berkenaan telah dilancarkan kelmarin di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di mana pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Salminan bin Haji Burut serta Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.

Majlis turut dihadiri secara maya oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara daripada kalangan penghulu mukim dan ketua kampung serta ketua-ketua jabatan di bawah KHEDN.

Kenyataan menerangkan bahawa pembangunan sistem pengundian itu telah mengambil kira proses pengundian, prosedur pembuangan dan pengiraan undi semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon PMKK yang pada masa ini dilaksanakan secara manual.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar menyempurnakan Pelancaran Sistem E-Undi PMKK yang telah diadakan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, kelmarin. – Gambar serahan KHEDN

Sistem itu mempunyai tiga tatacara pengundian iaitu menggunakan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK (online voting), tablet (offline voting) dan kertas undi (ballot paper) di mana hasil pengundian disimpan dalam sistem berkomputer untuk proses penganalisisan dan mengeluarkan keputusan dengan lebih efisien dan cepat. Dengan pelancaran sistem dan aplikasi mudah alih E-Undi PMKK itu, penduduk kampung bolehlah mendaftar sebagai pengundi dengan menggunakan aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun dari App Store atau Google Play.

Aplikasi mudah alih E-Undi PMKK itu boleh diakses menggunakan akaun e-Darussalam.

Pendaftaran berkenaan dibukakan sepanjang masa di mana senarai pengundi yang berdaftar akan disemak setiap tiga bulan bagi memastikan kelayakan sebagai pengundi.

Sementara itu, pengundi yang telah mendaftar dan berpindah rumah diperlukan untuk mengemas kini dan mendaftar alamat rumah baharu di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan seterusnya mendaftar semula sebagai pengundi di kampung baharu.

Pendaftaran pengundi masing-masing bagi sistem e-undi menggunakan aplikasi mudah alih dan pengundian menggunakan tablet akan ditutup 24 jam sebelum tarikh pengundian dan pemilihan calon-calon PMKK bermula.