KHEDN sambut Maulidur Rasul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan majlis Sambutan Maulud Nabi yang berlangsung di Masjid Kampung Salambigar.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Majlis diserikan dengan Ceramah Khas Mengenal Rasulullah SAW yang disampaikan oleh Pengasas Bersama Al-Minhaaj Centre, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.

Pada penghujung majlis, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sumbangan wakaf berbentuk kelengkapan masjid kepada imam Masjid Kampung Salambigar.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KHEDN berserta ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan kampung berkenaan.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) itu merupakan salah satu aktiviti tahunan KHEDN yang bertujuan untuk memperingati dan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sumbangan wa-kaf kepada imam Masjid Kampung Salambigar.