KHEDN semarak Maulidur Rasul

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya turut menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan majlis dikir secara maya.

Majlis anjuran bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara itu disertai oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri
Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Majlis telah didahului dengan laungan Sayyidul Istighfar dan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan majlis dikir. Kemudian majlis diikuti dengan bacaan Doa Dikir, Doa Peliharakan
Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan doa memohon kepada Allah SWT supaya terselamat daripada bala dan segala jenis penyakit.

Majlis merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian bagi sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam yang juga bertujuan untuk menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Turut menyertai majlis itu ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara daripada kalangan penghulu mukim dan ketua kampung, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung berserta ahli-ahli majlis perundingan kampung dan ahli jawatankuasa takmir masjid.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyertai majlis dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW secara maya dengan warga KHEDN. – Gambar serahan KHEDN