KHEDN terima sumbangan penutup mulut dan hidung

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Sebanyak 28,000 keping penutup mulut dan hidung sumbangan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) telah diagih-agihkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan agensi serta jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PBSM, Kampung Bunut itu, KHEDN, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja masing-masing menerima 4,000 keping penutup mulut dan hidung sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penerbangan Awam masing-masing menerima 2,000 keping.

Jabatan Buruh, Jabatan Penjara, Jabatan Perkhidmatan Pos dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) pula masing-masing menerima 1,000 keping.

Sumbangan 4,000 keping penutup mulut dan hidung kepada KHEDN adalah untuk agihan kepada penjaja dan peniaga tamu di seluruh negara menerusi kawalan jabatan daerah dan bandaran masing-masing.

Penyerahan penutup mulut dan hidung berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud selaku wakil Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong merangkap pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Awang Mohd Amir Hairil menyempurnakan penyerahan penutup mulut dan hidung.
Antara mereka yang hadir semasa majlis penyampaian sumbangan penutup mulut dan hidung di Ibu Pejabat PBSM.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, PBSM telah menerima sumbangan sebanyak 40,000 keping penutup mulut dan hidung daripada SRC yang diagih-agihkan PBSM dengan kerjasama NDMC kepada beberapa buah agensi kerajaan.

Selain agensi-agensi kerajaan yang menerima sumbangan berkenaan, hari ini, sebanyak 8,000 keping penutup mulut dan hidung juga akan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan pada satu tarikh yang berlainan dan akan dimaklumkan kemudian dan selebihnya pula, sebanyak 4,000 keping akan digunakan oleh PBSM dalam operasi dan misi COVID-19 di seluruh negara.

Sumbangan berkenaan bertujuan untuk memastikan petugas di barisan hadapan akan sentiasa melindungi diri mereka daripada wabak COVID-19 semasa bertugas dan berdepan dengan masyarakat umum sebagai langkah berjaga-jaga dan waspada.

PBSM berharap dengan sumbangan kecil berkenaan akan memberikan impak yang positif kepada masyarakat umum dalam sama-sama berusaha dan mengupayakan keselamatan dan kesejahteraan petugas awam di barisan hadapan untuk kekal sihat dan selamat terutama sekali dalam keadaan negara yang masih terdedah kepada wabak COVID-19.

PBSM juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada SRC yang telah berkesudian menyumbangkan sebanyak 40,000 keping penutup mulut dan hidung dalam suasana dunia berdepan dengan risiko wabak virus COVID-19.

Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada NDMC yang telah berkesudian untuk bekerjasama dengan PBSM dan yang sentiasa memberikan sokongan dan sepenuh kepercayaan kepada persatuan dalam sama-sama menangani misi COVID-19 di peringkat kebangsaan.