KHEDN teruskan lagi majlis tadarus

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 17 Mei – Rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah meneruskan lagi majlis tadarus Al-Quran, hari ini, yang berlangsung di Masjid Sungai Liang, di sini.

Mengetuai rombongan ke Daerah Belait ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan KHEDN, ahli-ahli majlis perundingan kampung dan mukim serta penduduk sekitar Kampung Sungai Liang.

Majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin, diikuti dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran, Tahlil dan Doa Selamat juga oleh Yang Berhormat Pehin bersama para jemputan.

Pada majlis itu, kunjungan rombongan KHEDN turut menyampaikan sumbangan wakaf untuk masjid berkenaan yang diserahkan oleh Yang Berhormat Pehin kepada imam masjid, Awang Mohd Zulhilmi bin Mohd Jeffri.

Kemudian, semua jemputan berbuka puasa bersama-sama sebelum sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian untuk membantu mengukuhkan lagi silaturahim antara kementerian dan pemimpin-pemimpin akar umbi serta penduduk di seluruh negara, pada masa yang sama meningkatkan aktiviti keagamaan yang diadakan dalam bulan Ramadan.

Setelah majlis serupa diadakan di Daerah Temburong dan Tutong pada awal bulan ini, masing-masing di Masjid Kampung Labu Estet pada 11 Mei dan Masjid Kampung Keriam pada 14 Mei, majlis tadarus KHEDN akan diteruskan lagi esok di Daerah Brunei dan Brunei di mana ia akan diadakan di Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika mengetuai majlis tadarus, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar ketika menyampaikan sumbangan wakaf kepada Awang Mohd Zulhilmi.