AL-JULAIA – Berdasarkan kepada sebuah nostalgia masyarakat di Kuwait terutama keturunan puak ‘Bedouin’ untuk tinggal di dalam khemah merupakan satu pengalaman yang sudah sebati di dalam kehidupan asal mereka. Baru-baru ini, Ahmad Al-Shimmari telah mengikuti jejak langkah nenek moyang mereka dengan menjadikan kawasan padang pasir sebagai tempat tinggal mereka sementara dan apa yang menarik ialah mereka tinggal di dalam sebuah khemah. Apa yang pasti, khemah-khemah ini telah dinaik taraf dengan dilengkapi dengan pelbagai sentuhan kemewahan moden dan selesa untuk dihuni. Bekas pekerja sektor minyak itu dan 15 ahli keluarga lelaki yang lain telah berkongsi sebuah khemah daripada enam buah khemah di kawasan luas yang ditubuhkan oleh keluarga beliau.
Ketika musim sejuk melanda di negara itu, Ahmad bersama dengan saudara cuba untuk merasakan sendiri tinggal di dalam khemah tersebut yang berhampiran de-gan sempadan Arab Saudi. “Khemah ini akan kekal berada di sini selama lima bulan,” kata lelaki yang berusia 49 tahun itu kepada wartawan AFP sambil menghirup teh hitam yang direbus dengan pembakar arang. Manakala saudara lelaki yang lain pula sedang leka menonton sukan bola sepak di televisyen yang besar yang disambung melalui saluran satelit. Selain itu, ada juga yang membincangkan tentang peristiwa-perisiwa yang terbaru di Emiriah Arab Bersatu yang kaya dengan sumber minyak.
Tapak padang pasir itu dikenali sebagai Kem Shimmari dan kem ini merupakan salah satu tapak yang ditubuhkan di kawasan Al-Julaia iaitu kira-kira 70 kilometer dari ibu negara Kuwait, Kuwait City. Kawasan ini mempunyai balai polis sendiri, sebuah klinik kecil dan juga balai bomba. Wilayah Al-Julaia amat sibuk dengan kehidupan orang ramai ketika berada di hujung minggu, cuti dan cuti persekolahan malah kawasan padang pasir ini terkenal dengan aktiviti berlumba dan menunggang kuda serta berlari di dalam pasir yang panas.
Sama seperti berada di rumah
Kem ini berukuran sekitar 15 kilometer persegi iaitu enam batu persegi dan tapak kem ini merupakan salah satu daripada 20 tapak yang telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan Teluk itu untuk memberikan peluang kepada penduduk-penduduk khususnya keturunan puak ‘Bedouin’ untuk mengadakan perkhemahan bersama dengan kaum keluarga. Dianggarkan beribu-ribu rakyat Kuwait dan warga asing berduyun-duyung membanjiri kawasan tapak itu terutama pada musim-musim perkhemahan yang bermula dari bulan November sehinggalah akhir bulan Mac.
Lazimnya ketika ini, hujan akan sentiasa turun namun menarik haba panas di dalam kawasan khemah. “Empat daripada khemah yang disediakan adalah untuk tidur manakala dua khemah yang berukuran lebih besar pula digunakan sebagai ruang tamu, satu untuk lelaki dan satu lagi untuk perempuan,” kata Shimmari lagi kepada wartawan AFP sambil menunjukkan kawasan-kawasan perkhemahan yang begitu besar dan luas.
Khemah yang digunakan untuk tidur dianggarkan berukuran sekitar lima hingga 10 meter panjang dan bagi sesetengah keluarga, mereka akan tinggal di dalam khemah ini selama satu hari manakala ada juga sesetengah keluarga ingin tinggal di dalam khemah itu selama berminggu-minggu terutama apabila menjelangnya musim cuti persekolahan manakala para pekerja pula berulang alik ke pejabat mereka setiap hari.
“Di kawasan ini, anda boleh hidup selesa seperti berada di rumah kerana di dalam khemah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti TV, tapak permainan untuk kanak-kanak, penakung arang untuk melakukan barbeku, peralatan untuk meminum kopi, teh dan apa yang pasti khemah ini dilengkapi dengan bekalan tenaga elektrik. Apa yang pasti, khemah ini seperti satu rumah biasa tetapi tanpa konkrit,” kata Shimmari Mohammed kepada wartawan AFP.
Mengimbas kembali masa lalu
Tapak perkhemahan itu turut dilengkapi dengan bekalan air yang dibekalkan oleh kereta-kereta tangki air bagi memberikan kemudahan kepada para pengunjung untuk ke tandas, keperluan bilik mandi dan dapur yang lengkap dengan pekakas-pekakas memasak.
“Khemah yang ditawarkan di dalam kawasan perkhemahan ini dilengkapi dengan katil-katil moden namun beberapa orang pengunjung lebih selesa dengan menggunakan tilam dan diletakkan di atas lantai untuk tidur.
“Kami sangat sayang akan budaya kami yang berpegang kuat dengan padang pasir kerana majoriti penduduk Kuwait adalah puak ‘Bedouin’. Fenomena ini membawa kami untuk mengingat kembali masa lalu dan merasakan sendiri bagaimana nenek moyang kami hidup ketika dahulu,” tambah Shimmari lagi kepada wartawan AFP sambil teringat zaman negara Kuwait sebelum penemuan pra-minyak.
Banyak kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat minyak negara dan syarikat-syarikat swasta telah mendirikan khemah-khemah di kawasan padang pasir untuk kakitangan mereka selama tempoh lima bulan.
“Perkhemahan padang pasir telah menjadi satu trend terbaru yang memberikan satu pengalaman yang hebat terutama buat kanak-kanak dan sebuah keluarga serta kadang-kala mereka datang dalam jumlah yang begitu besar untuk melarikan diri dari kediaman mereka sebenar yang lebih kecil di bandar raya,” kata seorang lelaki yang berusia 71 tahun, Abdul Majeed Al-Jareeri di dalam sebuah kem syarikat.
Trend baru
Trend perkhemahan di padang pasir ini memberikan peluang dan perniagaan yang besar buat syarikat-syarikat tempatan yang membekalkan penjualan khemah dan lain-lain kemudahan untuk individu untuk menyewa dan mendirikan khemah. “Terdapat pelbagai kelas dan jenis khemah bermula daripada biasa kepada khemah yang mewah untuk VIP dan VVIP (Individu yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan kaya raya),” kata Mohammad Al-Qaryouti kepada wartawan AFP.
Mohammad Al-Qaryouti turut menyelenggarakan sebuah kedai di kawasan perkhemahan di padang pasir dan bayaran bagi menggunakan khemah ini dianggarkan sebanyak AS$330 sehari iaitu harga yang sangat tinggi berbanding harga sebuah bilik di hotel bertaraf lima bintang.
Manakala harga bagi sebuah khemah yang tetap berharga AS$20,000 yang cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tandas moden dan bilik tidur yang sangat selesa dan mewah. – AFP