KHEU adakan perhimpunan khas Hari Kebangsaan ke-37

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini mengadakan Majlis Perhimpunan Khas Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 Tahun 2021 yang diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Majlis dimeriahkan dan Doa Khas sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, diteruskan dengan bacaan Asma ul-Husna oleh pegawai dan kakitangan KUPU SB, diikuti nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Selamatkan Sultan.’

Pemangku Pengarah Pentadbiran KHEU, Awang Mohd Sofian bin Haji Basri selaku pengerusi majlis ketika menyampaikan ucapan alu-aluan menjelaskan majlis tersebut adalah platform bagi warga kementerian sama-sama menzahirkan syukur atas nikmat kemerdekaan di bumi Darussalam bertuah ini, dalam bentuk negara yang aman dan merdeka, hidup dalam keadaan bernegara, berkementerian selaras dengan perlembagaan.

Majlis turut diisikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan persembahan puisi. Turut memeriahkan deklamasi puisi ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama melalui persembahan puisi khas.

Manakala pegawai dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam, KHEU mempersembahkan tausyeh diikuti persembahan hadrah oleh para pegawai dan kakitangan KUPU SB dan diakhiri dengan persembahan berkumpulan dalam monolog, puisi, syair dan lagu patriotik oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam.

Majlis bertujuan menyuntik semangat patriotik dan menyemai semangat cintakan tanah air melalui aktiviti kenegaraan serta membangun minda dan meningkatkan nilai-nilai hidup bermasyarakat, beragama dan bernegara.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri acara tersebut.
Suasana Majlis Perhimpunan Khas Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 Tahun KHEU.