KHEU akan perbesarkan Masjid Batu Apoi

Oleh Yusrin Junaidi

 

TEMBURONG, 10 Jan – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah meneruskan siri lawatan kerjanya ke Sekolah Persediaan Arab Temburong dan Masjid Kampung Batu Apoi di Daerah Temburong.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dan Pemangku Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, KHEU, Haji Bakar bin Mohd Salleh.

Lawatan sebelah pagi dimulakan dengan lawatan ke Sekolah Persediaan Arab Temburong (SPAT) di mana ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal dan Guru Besar SPAT, Awang Morsidi bin Haji Tuah serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, Yang Berhormat Pehin berkesempatan membuat tinjauan ke bilik-bilik darjah sambil beramah mesra dengan murid-murid, diikuti dengan sesi taklimat di Bilik Mesyuarat yang disampaikan oleh Awang Morsidi.

Sekolah berkenaan mempunyai seramai 97 orang pelajar dari Tahun 5 hingga 8 dengan tenaga pengajar seramai 18 orang.

Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat pelan Masjid Kampung Batu Apoi, Temburong.
Yang Berhormat Pehin melihat lebih dekat pelan Masjid Kampung Batu Apoi, Temburong.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada pelajar semasa lawatan beliau ke Sekolah Persediaan Arab Temburong, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada pelajar semasa lawatan beliau ke Sekolah Persediaan Arab Temburong, kelmarin.

SPAT telah mencapai beberapa kecemerlangan yang membanggakan, termasuk mencapai 100 peratus lulus dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah, dengan 97 peratus mencapai gred A hingga C.

Dalam aspek kokurikulum, SPAT telah banyak mencapai kejayaannya seperti menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam Peraduan Masrahiah Arabiah Peringkat Negara, johan dan naib johan Peraduan Musabaqah Al-Quran dan tempat ketiga dalam peraduan Pidato Dalam Bahasa Arab.

Antara program menarik yang diperkenalkan sekolah tersebut dalam mengukuhkan lagi penguasaan dan penuturan Bahasa Arab dalam kalangan pelajarnya adalah menganjurkan Program Al-Arabiah Bayna Shafahatayn di mana pelajar mengenali 90 patah perkataan Arab baru dalam tempoh 30 hari.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengakhiri lawatan kerja ke Masjid Kampung Batu Apoi di mana ketibaan beliau dialu-alukan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Masjid Kampung Batu Apoi dibina pada 28 Disember 1986 di atas sebidang tanah 1.965 ekar, kira-kira 6km dari Pekan Bangar, dan siap sepenuhnya pada tahun 1987 manakala itu, dibuka rasmi pada 4 September 1987.

Masjid ini boleh menampung kira-kira 200 orang jemaah dan antara kemudahan yang terdapat di masjid berkenaan termasuk dewan serba guna dan bilik perpustakaan.

Dengan jumlah jemaah yang kian meningkat, KHEU sedang berusaha memikirkan penyelesaian terbaik dalam menampung pertambahan keramaian jemaah di mana jemaah yang menggunakan masjid ini bukan sahaja terdiri daripada penduduk di kawasan berhampiran malahan juga termasuk peserta-peserta dari Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Lawatan Menteri Hal Ehwal Ugama ke sekolah-sekolah Arab berkenaan merupakan lawatan berterusan untuk mengetahui projek yang sedang giat dilaksanakan oleh KHEU melalui jabatan-jabatan yang terlibat.

Manakala itu, lawatan ke Masjid Kampung Batu Apoi pula bertujuan untuk meninjau kemudahan masjid yang mana sebelum ini masjid berkenaan hanya boleh menampung seramai 200 orang jemaah semasa solat Jumaat dan jemaah selebihnya berada di luar masjid.

Yang Berhormat Pehin ketika ditemu bual berkata, penambahbaikan masjid berkenaan akan dapat memberikan keselesaan kepada jemaah masjid yang berada di sekitar kampung berkenaan dan juga memberikan ruang kepada pelatih-pelatih PKBN.

Menurut beliau lagi, lawatan ke sekolah Arab berkenaan juga bertujuan untuk memenuhi agenda KHEU untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Katanya, sepanjang siri lawatan ke sekolah-sekolah Arab di keempat-empat daerah, sekolah-sekolah berkenaan telah memberikan suasana pembelajaran bahasa yang mantap.

“Insya-Allah, kami akan sentiasa meninjau perkembangannya dari setahun ke setahun untuk melihat keberkesanan program Bahasa Arab yang sedang giat dilaksanakan bagi tujuan pendidikan yang bagus untuk pelajar agar mereka dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik,” ujar Yang Berhormat Pehin.