Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Sempena memperingati Ulang Tahun Pelaksanaan Pendidikan Ugama Formal ke-67 di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Bacaan Surah Yasin dan tahlil berkenaan adalah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh serta pegawai-pegawai kanan di KHEU.
Seramai 300 orang yang terdiri daripada warga JPI serta tenaga pengajar persekolahan Arab dan agama juga telah menyertai majlis yang penuh keberkatan tersebut.
Bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Haji Mohd Hendera bin Haji Meraji dari Bahagian Kenaziran, JPI, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah.