Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Ke arah mendukung dan mencapai sasaran negara dalam melaksanakan Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis penanaman pokok dan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran bangunan kementerian di Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pemangku Pengarah Pentadbiran, KHEU, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis menjelaskan bahawa aktiviti penanaman pokok berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam Buku Garis Panduan bagi Mengurangkan Pelepasan Gas-gas Rumah Hijau dari Premis-premis Perkhidmatan Awam di Negara Brunei Darussalam terbitan Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Protokol Hijau menggariskan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan agar kerajaan dapat menjadi contoh terbaik bagi mencapai sasaran Negara dalam melaksanakan BNCCP.
Sektor kerajaan menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah pelepasan gas-gas rumah hijau daripada penggunaan elektrik dan sebanyak 25 peratus daripada jumlah penggunaan air negara secara keseluruhan, tambah beliau.
Majlis disusuli dengan penanaman pokok jenis Bismarckia Nobilis yang didahului oleh Yang Berhormat Pehin dan diikuti oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim, dan Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar.
Sejurus itu, acara gotong-royong dimulakan bagi membersihkan kawasan bangunan KHEU yang disertai oleh pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.
Penanaman pokok merupakan antara garis panduan Protokol Hijau ke arah mengurangkan jejak karbon dan pelepasan gas-gas rumah hijau di premis-premis perkhidmatan awam.
Usaha seumpamanya diharap akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim dan kepentingan melestarikan alam sekitar kalangan warga KHEU.