KHEU lancar program, terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan mengikut garis pandu yang telah ditetapkan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melancarkan Program Infak Tarbiah Khas COVID-19 Persekolahan Arab dan Agama.

Program berkenaan membukakan peluang kepada orang ramai termasuk agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan bukan kerajaan untuk menyumbangkan barang-barang keperluan pembelajaran dan pakej kesihatan dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19 pada masa ini.

Sehubungan itu, majlis penerimaan sumbangan daripada beberapa pihak telah diadakan di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis menyaksikan penerimaan sumbangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Jabatan Perkhidmatan Awam, Ezy Printing Services & Trading Company Sdn Bhd dan Samima Sdn Bhd.

Sumbangan daripada BIBD telah disampaikan oleh Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar; Jabatan Perkhidmatan Awam diwakili oleh Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman; Samima Sdn Bhd pula diwakili Pengarah Urusan, Haji Hidhayatullah bin Haji Tajudeen dan Ezy Printing diwakili oleh Pengarahnya, Dato Tiong Ing Ping.

Sumbangan bertujuan untuk memenuhi keperluan para pelajar khususnya yang kurang berkemampuan dan sebagai salah satu inisiatif atau ruang bagi orang ramai untuk sama-sama memberikan sumbangan dan beramal jariah.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika menerima sumbangan daripada BIBD yang disampaikan oleh Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar sempena Program Infak Tarbiah Khas COVID-19 Persekolahan Arab dan Agama. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menerima sumbangan daripada pemangku ketua pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Antara wakil-wakil dari jabatan dan syarikat-syarikat yang hadir untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan pembelajaran dan pakej kesihatan dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.