Tuesday, March 21, 2023
21.2 C
Brunei

-

KHEU perkasa ICT dalam pendidikan dan pentadbiran

Oleh Salawati Haji Yahya

Menuju ke arah pendidikan digital, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus berusaha mempelbagaikan teknik pengajaran selain menyediakan program kemahiran untuk guru-guru sekolah agama dan juga sekolah Arab sesuai mengikut keadaan semasa.

Sekolah agama dan Arab, adalah dua perkara sebahagian daripada core business KHEU, yang mana persekolahan agama adalah satu aliran dalam pendidikan agama yang telah digunakan lebih 60 tahun begitu juga bagi pendidikan sekolah Arab.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai kemajuan dan perkembangan telah dicapai dengan adanya pembinaan sekolah-sekolah agama di seluruh negara dan pembinaan beberapa buah sekolah Arab yang dilengkapi dengan kemudahan terkini.

Perkara itu antara yang dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa temu bual media mengenai pencapaian pendidikan sekolah agama dan Arab di kementerian berkenaan baru-baru ini.

Peruntukan sekolah agama, Arab dan JPI

Peruntukan kewangan 2022/2023 untuk sektor sekolah agama atau Arab dan pendidikan Islam berjumlah $196,438,052 dan daripada jumlah tersebut, $177,576,651 diperuntukkan untuk Jabatan Pengajian Islam (JPI).

Manakala $9,204,867 di peruntukan untuk Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan sementara Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di peruntukan sebanyak $9,659,534.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa temu bual media di KHEU, baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
Program Insyirah menyasarkan murid-murid pra, darjah I hingga III bagi persekolahan agama di mana terdapat empat komponen pembelajaran diperkenalkan. – Gambar fail
Tumpuan utama KHEU adalah bagi memperkasa dan memperkukuh penggunaan ICT dalam pendidikan, pentadbiran serta pengurusan.

Pencapaian sekolah agama

Pendidikan di persekolahan agama terus diperkasa dengan mata pelajaran Bahasa Arab yang telah mula diperkenalkan di sekolah-sekolah agama bermula pada tahun 2011.

Selain Bahasa Arab, Program Insyirah juga diperkenalkan pada tahun yang sama iaitu program pengintegrasian ilmu agama kepada penghayatan beragama melalui sistem pembelajaran.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ia bertujuan untuk mendukung pendidikan formal dan memberi nilai tambah kepada pengetahuan sedia ada murid. Menurutnya lagi, program ini menyasarkan bagi murid-murid pra, darjah I hingga III di mana terdapat empat komponen pembelajaran diperkenalkan melalui program berkenaan iaitu Asuhan Budi, Warisan Kita, Bimbingan Bahasa dan Hafazan.

Di samping itu, Peraturan Kenaikan Darjah dan Had Markah Lulus Sekolah-sekolah Ugama (Pindaan 2020) mula diperkenalkan dan dilaksanakan pada tahun 2021. Manakala bermula tahun 2022 Pindaan Peraturan Tahun 2019 Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) telah mula diperkenalkan dan diguna pakai.

“Peraturan baharu bagi SSSRU ini dihasratkan bagi mengukuhkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran melalui sistem penilaian yang menyeluruh,” tambah beliau.

Selaras dengan perubahan ini, Peperiksaan SSSRU mula dikembangkan dan dibukakan kepada calon persendirian. Melalui peraturan baharu yang di perkenalkan ini, peratus pencapaian pelajar yang lulus dalam lima tahun kebelakangan adalah di tahap yang sangat baik iaitu melebihi 90 peratus.

Perkembangan dan pencapaian sekolah Arab

Ketika menyentuh mengenai persekolahan Arab, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, ia mempunyai keistimewaannya tersendiri apabila sistem pendidikannya bukan saja menumpukan kepada ilmu-ilmu duniawi tetapi juga ukhrawi.

Pelajar juga dididik menguasai tiga bahasa iaitu Arab, Inggeris, dan Melayu serta boleh mengikuti dua aliran pendidikan, iaitu pembelajaran aliran agama atau Arab dan aliran umum atau sains.

Jelas Yang Berhormat Pehin, di sinilah kelebihan sekolah Arab berbanding dengan sekolah-sekolah lain di mana persekolahan Arab menyediakan pengajian rendah dan menengah bagi mata pelajaran aliran Arab dan sains selain melayakkan mereka mengambil peperiksaan secara persendirian.

Bukan saja itu, penguasaan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan pelajar di persekolahan Arab antara perkara yang sangat dititikberatkan. Pihak KHEU sentiasa berusaha mempertingkatkan pencapaiannya.

Selain penelitian, pengemaskinian kurikulum, sukatan dan penilaian bagi mata pelajaran Bahasa Arab, pelbagai inisiatif dan aktiviti sokongan yang dapat membantu mengukuhkan penguasaan bahasa Arab telah dilaksanakan.

Manakala dengan pencapaian persekolahan Arab, tidak dapat dinafikan, aliran persekolahan Arab mendapat tempat dalam masyarakat Brunei Darussalam dan sejak penubuhannya, sekolah-sekolah Arab mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat Islam di negara ini.

Dari segi pencapaian akademik, pelajar-pelajar sekolah Arab berupaya mendapat keputusan yang membanggakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan khususnya dalam pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 1.3 iaitu peratus peningkatan pencapaian peperiksaan awam.

Kejayaan pelajar sekolah Arab juga turut menyerlah dan membanggakan dalam bidang kokurikulum khususnya dalam penyertaan pertandingan dalam dan luar negara, dan antara kejayaan yang pernah dicapai dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Kesan pendidikan agama

Pendidikan agama Islam yang dirancang dengan teratur dan diperkukuhkan lagi dengan penubuhan sekolah agama Arab sejak enam dekad yang lalu, telah mencapai sebahagian matlamat yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang inginkan rakyat dan penduduk negara ini menjadikan Islam itu sebagai cara hidup yang lengkap.

“Pendidikan agama yang teratur yang diasaskan oleh Baginda Sultan telah menghasilkan rakyat dan penduduk yang berpegang teguh dengan agama Islam di negara ini hingga apa jua tindak-tanduk dalam kehidupan sehari-hari sentiasa berasaskan agama Islam,” jelasnya.

Peningkatan kecemerlangan pelajar

Ke arah meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan pelajar-pelajar di persekolahan Arab, KHEU melalui JPI akan terus berusaha dalam memperkukuh keberkesanan pengajaran dan pembelajaran melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti. Ini antaranya seperti Program Intervensi, Program At-Tatweer dan juga Pengukuhan Perkhidmatan Pengurusan Pendidikan.

Pengurusan pendidikan

Perkhidmatan pengurusan pendidikan secara umumnya meliputi semua aspek yang berkaitan dengan hal ehwal pendidikan, persekolahan, pelajar dan guru termasuk kurikulum, kokurikulum, penilaian, perkhidmatan sokongan, kemudahan dan prasarana pendidikan.

Tumpuan utama KHEU adalah bagi memperkasa dan memperkukuh penggunaan ICT dalam pendidikan, pentadbiran serta pengurusan. Di samping itu, pihak kementerian juga akan melaksanakan usaha bagi mengukuhkan waktu persekolahan agama dan mengembangkan pendekatan yang dilaksanakan dalam Program Insyirah.

Ini dengan mengambil kira kebajikan pelajar dan juga keperluan warga perkhidmatan awam. Ke arah itu pihak KHEU akan menyelaras perancangan dari segi keperluan prasarana, bangunan dan kemudahan-kemudahan yang berkaitan dengan pendidikan agama.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kishida umum rancangan Indo-Pasifik baharu di India

NEW DELHI, 20 MAC - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini menjemput rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak negara-negara...
- Advertisment -