Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) merancang membina 11 buah masjid iaitu enam buah di Daerah Brunei dan Muara, masing-masing dua buah di Daerah Tutong dan Belait dan sebuah di Daerah Temburong dibawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11.
Bagaimanapun, ini adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan, kata Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara hari ini.
Menurut Yang Berhormat Pehin, masjid-masjid tersebut ialah Masjid Baru Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang; Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tanah Jambu; Masjid Kampung Junjongan; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lugu dan Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, kesemuanya di Daerah Brunei dan Muara; Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Telisai dan Masjid Kampung Ukong, di Daerah Tutong; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut dan Masjid Mumong di Daerah Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar di Daerah Temburong.
Dalam hal pembinaan masjid, Yang Berhormat Pehin berkata, Alhamdulillah, Tabung Dana Pembinaan Masjid telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai di mana sehingga akhir bulan Februari lalu kutipannya melebihi $4.6 juta.
Menurut beliau, projek pertama yang akan menggunakannya ialah pembinaan Masjid Kampung Tanjong Bunut dengan peruntukan sebanyak $3.56 juta.
Pada masa ini, katanya, purata jumlah kutipan setiap bulan adalah sebanyak $200,000. Puncanya daripada tabung-tabung khas di masjid-masjid dan sumbangan tetap pegawai dan kakitangan kerajaan melalui gaji.
Beliau berkata, satu inisiatif baru dalam sumbangan pegawai dan kakitangan kerajaan sedang diperkenalkan bagi membolehkan mereka menyumbang daripada potongan gaji masing-masing sebanyak $2 sebulan.
“Perlu diperjelaskan di sini bahawa cadangan $2 sumbangan bagi setiap warga perkhidmatan awam setiap bulan potongan daripada gaji mereka bukannya mandatori, malah setiap individu masih mempunyai pilihan masing-masing sama ada ingin menambah atau mengurangi jumlah cadangan itu atau mereka juga boleh untuk tidak menyertai skim ini.
“Dalam mengoptimumkan penggunaan wang kutipan daripada tabung-tabung masjid iaitu tabung-tabung sumbangan jemaah secara langsung bagi kegunaan masjid tempatnya bersembahyang, maka beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan. Kemampuan masjid-masjid dari sudut kewangan akan dikategorikan kepada masjid yang berkemampuan, sederhana dan kurang berkemampuan.”
Selaras dengan pengkategorian berkenaan, jelas Yang Berhormat Pehin, masjid-masjid akan diberikan tanggungjawab menggunakan wang kutipan berkenaan bagi membiayai aktiviti pentakmiran masjid dan pemeliharaan masjid seperti membayar sebahagian elaun-elaun tenaga pengajar kelas Al-Quran dan muqaddam, elaun tenaga pembimbing kelas bimbingan Muslimah dan pembayaran khidmat penyelenggaraan masjid-masjid (secara kontrak).
Dalam bidang dakwah pula, beliau berkata, pihak kementerian akan terus berusaha bagi menyebarkan dakwah dan syiar Islam di kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.
Usaha dakwah kepada masyarakat yang tidak beragama Islam terus diusahakan untuk menyampaikan ajaran Islam yang suci supaya mereka setelah itu boleh menimbang atau memikirkan untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dan cara hidup yang lengkap.
Dalam tahun 2016, seramai 472 orang telah mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu Wa Taala. Jumlah ini adalah berkurangan sedikit jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya yang mencapai sasaran iaitu sekurang-kurang 500 orang memeluk agama Islam setiap tahun.