Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU terima sumbangan wakaf buku

    Oleh Yusrin Junaidi –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Syarikat Borneo Corporation telah menyumbang wakaf buku Masjid-masjid Brunei Darussalam kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang disampaikan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Borneo Corporation, Dr Haji Nasir Latif pada majlis yang berlangsung di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan, KHEU.
     
    Hadir menerima sumbangan wakaf berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat, diikuti dengan ucapan daripada wakil Syarikat Borneo Corporation.
     
    Sumbangan wakaf buku Masjd-Masjid Brunei Darussalam kemudian diserahkan kepada Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
     
    Sumbangan wakaf buku berkenaan merupakan amal jariah syarikat tersebut dan diharap setiap masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara akan memilikinya serta para jemaah masjid mendapat manfaat daripadanya.
     
    Buku berkenaan mengandungi banyak rujukan sejarah yang diketengahkan termasuk kitab suci Al-Quran; hadis Nabi Muhammad SAW; masjid dalam sejarah lslam dan sejarah masjid-masjid utama di Negara Brunei Darussalam; dan adab memasuki sesebuah masjid. Di samping itu, buku berkenaan juga mengongsikan tentang pengalaman pengarangnya melalui lawatan-lawatan peribadi beliau ke masjid-masjid di luar negara.
     
    Penerbitan buku tersebut diharapkan sebagai sumber pengetahuan dan rujukan kepada orang ramai selain menjadi sumbangan ke arah pembangunan masjid-masjid Negara Brunei Darussalam pada masa depan.
     
    Pengarang buku Masjid-masjid Brunei Darussalam, Dato Paduka Dr Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim merupakan bekas Pengarah Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Beliau berkelulusan PhD dalam pengajian Antropologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Sarjana Falsafah dalam Antropologi dari Cambridge University, United Kingdom.
     
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menerima sumbangan wakaf buku Masjid-masjid Brunei Darussalam baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JHEM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda