KHEU terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah menerima sumbangan penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam untuk kegunaan di persekolahan agama dan Arab serta masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Sumbangan sebanyak 35,000 penutup mulut dan hidung serta 5,000 cecair pembasmi kuman berkenaan telah diserahkan oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong pada majlis yang berlangsung di Bangunan KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas.

Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang kemudiannya menyerahkan sumbangan tersebut kepada pemangku pengarah pengajian Islam dan pemangku pengarah hal ehwal masjid untuk diagih-agihkan kepada persekolahan agama dan Arab serta masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Sumbangan berkenaan adalah sebagai inisiatif untuk membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam usaha membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

Terdahulu sebelum penyerahan sumbangan berkenaan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama telah menerima kunjungan hormat daripada PYT Yu Hong di Bilik Dhiyafah, Tingkat 5, Bangunan Tambahan KHEU.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

PYT Yu Hong menyerahkan sumbangan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas.
Antara pegawai yang hadir semasa majlis penyerahan sumbangan di Bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, Berakas.