Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus berkembang dan mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang yang berhubungan dengan tugas serta peranan utamanya termasuk dalam bidang-bidang persekolahan dan pendidikan agama, ehwal masjid, pengembangan dakwah, perundangan syariah, pemakanan halal, pengutipan dan pengagihan zakat, pengurusan ibadat haji dan ‘umrah, pengurusan korporat dan pengembangan syiar Islam melalui acara-acara yang tertentu serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengan ehwal agama.
Pada masa yang sama juga, KHEU turut berusaha untuk meningkatkan kapasiti dan profesionalisme para pegawai kementerian berkenaan.
“Ini sangat penting supaya mereka mampu memberikan perkhidmatan yang selaras dengan piawaian perkhidmatan cemerlang kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Muzakarah KHEU bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) 2017 yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU, hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa kementeriannya berusaha supaya generasi baru pegawai-pegawainya yang beruntung mendapat pendidikan baik akan terus mengolah diri mereka untuk dapat berbaur serasi dengan rakan-rakan mereka dalam perkhidmatan yang lain.


“Mereka dan rakan-rakan sebaya mereka itu adalah generasi baru negara ini. Mereka perlu terus menjalin rangkaian kerja, networking yang kukuh sebagai satu pasukan yang berperanan sama untuk kebaikan rakyat, negara dan kerajaan di masa hadapan.”
Yang Berhormat Pehin juga berkata, “Negara kita Brunei ini sangat bertuah kerana di bawah kepimpinan pemerintahan beraja, hal ehwal agama diurus tadbir dalam mainstream perkhidmatan kerajaan.
“Kerana itu pula ajaran agama telah dapat berkembang dan dihayati sesuai dan serasi dengan iklim politik dan sosiobudaya Brunei.



“Hasilnya ialah agama dapat berfungsi dengan baik menjadi tunjang keutuhan negara. Dan yang penting diingat bahawa negara selama ini telah menjadikan agama itu suluh dan pedoman pemerintahan yang baik dan berkesan.”
Dalam hubungan itu, beliau yakin bahawa ahli-ahli MMN pada masa ini dan akan datang, akan memastikan perkhidmatan ehwal agama sentiasa kukuh dan berkembang sebagaimana mestinya.
Oleh itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa beliau amat mengalu-alukan pandangan serta buah fikiran daripada ahli-ahli MMN di mana mereka yang dilantik merupakan kombinasi ahli pelbagai latar belakang ilmu dan pengalaman.
Beliau juga berkata bahawa lantikan ahli-ahli MMN yang baru sekarang terdapat ahli-ahli yang benar-benar mewakili generasi pada masa ini. “Saya, secara khususnya, percaya bahawa ahli-ahli Yang Berhormat daripada generasi muda yang baru dilantik akan sama berperanan melakar kaedah-kaedah yang betul dan tepat bagi kesempurnaan masa hadapan Brunei dengan corak dan acuan imperative kenegaraannya sebagai negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat demokratik bersendikan ajaran Islam Ahli Sunnah Waljama’ah.”