KHEU terus makmurkan masjid

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Program Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah Setiap Jumaat di Bulan Ramadhan Tahun 1440H yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi memakmurkan masjid dalam bulan Ramadan Al-Mubarak telah diteruskan lagi hari ini di masjid-masjid, surah dan balai ibadat seluruh negara.

Antara pengisian program tersebut ialah sembahyang fardu Subuh berjemaah, membaca surah pilihan dan Tadabbur Al-Quran.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, program tersebut berlangsung di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dan selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Menyampaikan tadabbur pada program di masjid itu ialah Da’ie Pusat Dakwah Islamiah, Dr Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, para pengarah, pegawai dan kakitangan KHEU.

Program Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah KHEU di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Program turut diadakan di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong di mana hadir selaku tetamu khas ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan pentadabbur ialah Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Naqib bin Haji Awang.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pengarah, pegawai dan kakitangan KHEU.

Bagi Daerah Tutong pula, program berlangsung di Masjid Kampung Penanjong Tutong di mana hadir selaku tetamu khas ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku penghulu Mukim Tanjong Maya.

Penyampai Tadabbur ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Bagi Daerah Belait, program berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan dan hadir selaku tetamu Khas ialah Pegawai Pemerintah Bomba dan Penyelamat, Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Penguasa Kanan Bomba Muhd Shahreeni bin Haji Mohd Yussof. Penyampai Tadabbur bagi masjid berkenaan ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Akup bin Haji Lamat.

Sementara itu, bagi Daerah Temburong pula program berlangsung di Masjid Kampong Puni di mana hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pemerintah Daerah Polis Temburong, DSP Pengiran Muhaimin bin Pengiran Haji Mustapha dan Penyampai Tadabbur ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Eldi bin Haji Suhaile.

Antara objektif program adalah meraih kelebihan beribadah dalam bulan Ramadan, memakmurkan rumah Allah dengan sembahyang berjemaah pada waktu subuh, menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang tuntutan sembahyang berjemaah serta kelebihan yang diperoleh, memupuk perpaduan, persaudaraan sesama umat Islam dan melahirkan masyarakat yang murni dan berbudi pekerti yang mulia.