KHEU tutup majlis tadarus, khatam

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Majlis-majlis tadarus yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena bulan Ramadan tahun ini, berakhir pada malam semalam dengan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut sama hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Awang Mohd Zulhafiz bin Haji Awang Tengah iaitu tenaga pengajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Manakala itu, Tadabbur Al-Quran telah disampaikan oleh pegawai agama Sekolah Uga-ma Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, Pengiran Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bungsu.

Seterusnya bacaan takhtim beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid serta pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU. Manakala itu, Doa Khatam dibacakan oleh Haji Metassim bin Haji Metussin.

Untuk memberkati majlis, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang.

Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara tersebut dikendalikan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Radio Televisyen Brunei.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama rombongan ketika menghadiri Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.