Khianat memburu kekuasaan

SETELAH kejadian yang mengerikan di gunung Raksha, ahli-ahli sihir itu telah kembali dan River telah mengkhianati Kamzin untuk mendapatkan semula kuasa gelapnya.

Langkah yang akan ahli-ahli sihir itu ambil seterusnya, adalah untuk pergi ke Three Cities dan mengambil alih takhta kerajaan empayar, diketuai oleh adik lelaki River, Esha.

Jika Kamzin ingin menyelamatkan Azmiri dan menghalang kejatuhan empayar, dia harus mencari bintang yang jatuh di pergunungan Ash di kawasan utara. Bintang yang jatuh itu mempunyai kuasa yang sangat ampuh dan jika Kamzin dan Lusha berjaya mendapatkannya, mereka akan dapat menggunakan magisnya untuk mempertahankan empayar.

Untuk sampai ke sana, Kamzin memerlukan pertolongan Azarat, syaitan api yang sangat bahaya dan penuh tipu helah, yang dapat memberikannya kuasa yang hebat, namun sebagai balasannya, Kamzin harus menyerahkan cebisan rohnya kepada Azarat. Ternyata tugasan tersebut bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan. River juga mahukan bintang tersebut dan haluan mereka akan bertembung dalam cara yang sangat berbahaya dan tidak dijangka-jangka.

Kamzin harus berhadapan dengan konflik dalaman dan perasaannya mengenai orang yang mengkhianatinya itu. Berhadapan dengan magis gelap, pengembaraan yang sangat berbahaya dan berhadapan dengan ahli-ahli sihir, berjayakah Kamzin, Lusha dan Tem mendapatkan bintang tersebut dan menyelamatkan empayar mereka?

Untuk mengetahui kesudahannya, pembaca bolehlah mengikuti pengembaraan mereka dalam novel All the Wandering Light karya Heather Fawcett.