Khidmat Katering Harini buka cawangan baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Setelah beroperasi selama kira-kira 30 tahun, Khidmat Katering Harini Sdn Bhd yang mengendalikan Restoran Stadium telah melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan terbaharu iaitu Restoran Bomba di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama, Berakas, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian cawangan restoran berkenaan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pengerusi Khidmat Katering Harini Sdn Bhd, Pengiran Haji Zulkifly bin Pengiran Haji Umar dan Pengarah Urusan Khidmat Katering Harini Sdn Bhd, Lim Chai Huat.

Dalam kata alu-aluannya, Lim Chai Huat berkata bahawa Khidmat Katering Harini telah membuka dan menjalankan perniagaan di Restoran Stadium sejak 1990 dan setelah kira-kira 30 tahun beroperasi di lokasi berkenaan, syarikat itu melakar sejarah yang penting dengan membuka cawangan terbaharunya, Restoran Bomba.

Beliau menambah bahawa restoran berkenaan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan setia mereka dengan memberikan keutamaan kepada pegangan syarikat berkenaan iaitu menyediakan makanan yang sedap, ruangan yang selesa, segar serta sempurna.

Majlis kemudian menyaksikan perasmian restoran yang disempurnakan bersama oleh Lim Hock Guan, Awang Misle, Pengiran Haji Zulkifly dan Lim Chai Huat. Di majlis itu juga, Pengiran Haji Zulkifly menyampaikan sumbangan berjumlah $1,000 kepada Tabung Kebajikan Bomba yang diterima oleh Pengerusi Persatuan Bomba Brunei, Penguasa Kanan Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop.

Lim Hock Guan, Awang Misle, Pengiran Haji Zulkifly dan Lim Chai Huat merasmikan Restoran Bomba. – Gambar oleh Muiz Matdani