Khidmat penghantaran barangan semakin terkenal di kawasan perkampungan

BEIRUT – Sejak awal pagi, Wassim Al-Ali memulakan harinya dengan menunggang basikalnya untuk menghantar barang keperluan harian dari pasar kepada penduduk tempatan di kampung halamannya Nabatieh di selatan Lubnan. Al-Ali, yang berusia 30an, bahkan melakukan pengubahsuaian kalis hujan pada basikalnya kerana dia menggunakannya setiap hari untuk memenuhi keperluan penduduk kampung ketika berada dalam keadaan perintah berkurung yang dikenakan oleh kerajaan Lubnan dengan harapan dapat membendung penularan COVID -19.

Pada rutin harian al-Ali, seorang petani, biasanya bekerja dari jam 6 pagi hingga 5 petang, menghantar barang untuk penduduk tempatan untuk memenuhi keperluan semasa kuarantin di rumah.

Dia menerima tempahan penghantaran melalui ‘WhatsApp’ di telefon bimbitnya, dengan mengenakan 2,000 pound Lubnan (AS$1.3) untuk setiap penghantaran di dalam kampung, dan 7,000 pound untuk sebarang penghantaran ke kampung berhampiran.

“Ini adalah cara untuk mendapatkan sedikit pendapatan apabila pekerjaan di ladang saya lambat,” kata al-Ali kepada Xinhua.

Jihad Hamid, yang memandu sebuah kereta kecil untuk menghantar barang-barang di bandar Marjeyoun di tenggara Lubnan, tidak pernah terfikir menjadi penghantar barang pada suatu hari bagi penduduk tempatan untuk membeli keperluan mereka mulai dari buah-buahan, sayur-sayuran, daging, barang dalam tin, dan serbuk pembersih.

Kelihatan penghantar barang membeli barang yang hendak dihantar ke penduduk setempat di Nabatieh, Sudan selatan. – Xinhua

Hamid, yang dulu bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai gula-gula, kini mendapati dirinya bebas untuk melakukan beberapa penghantaran dan memperoleh pendapatan tambahan untuk memenuhi keperluan keluarganya.

“Kadang-kadang, saya terlalu sibuk sehingga saya tidak dapat memenuhi permintaan semua orang,” katanya kepada Xinhua, sambil melihat senarai di tangannya.

Tamer Al-Ali, seorang pekerja berusia 20 tahun dalam perkhidmatan penghantaran di Khiam, selatan Lubnan, mengatakan kepada Xinhua bahawa perkhidmatan penghantaran, yang sebelumnya hanya terhad di bandar-bandar besar dan pusat-pusat komersial, telah berkembang pesat ke kawasan desa dan kampung semasa kuarantin.

Zuhair Harfouche, pemilik sebuah kedai sayur-sayuran dan buah-buahan di bandar Hasbaya, tenggara Lubnan, membenarkan pekerjanya memandu empat buah kereta kecilnya untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran di bandar itu, dengan hanya 2,000 pound ditambahkan pada caj untuk setiap bil.

Perkhidmatan penghantaran di Lubnan menjadi lebih popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang membolehkan perniagaan menjangkau lebih banyak pelanggan di seluruh negara.

Syarikat besar biasanya menggunakan perkhidmatan penghantaran profesional untuk menyampaikan barang dan perkhidmatan mereka.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan penghantaran yang lebih sederhana dan lebih murah lebih popular di kalangan suri rumah di kampung-kampung yang dapat meminta pertolongan dari jiran-jiran mereka dan orang-orang di bandar-bandar berdekatan untuk memenuhi keperluan mereka, terutamanya semasa perintah penutupan.

Lubnan memulakan penutupan ketiganya di seluruh negara pada 7 Januari lalu, yang akan berlangsung sehingga 1 Februari, untuk mengatasi kenaikan jangkitan COVID-19.

Lubnan mendaftar pada hari Ahad 3,654 jangkitan COVID-19 baharu, menjadikan jumlah kesnya kepada 252,812, sementara jumlah kematian akibat virus itu meningkat 40 menjadi 1,906. – Xinhua