Khidmat pergigian sempena cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Jabatan Perkhidmatan Pergigian telah membuka perkhidmatan pergigian bagi pesakit kanak-kanak pada musim cuti persekolahan penggal ketiga ini yang bermula pada 2 Disember lalu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan dikeluarkan di sini mengatakan perkhidmatan itu dibukakan sehingga 31 Disember kecuali Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam di Tingkat 1, Blok A, Pusat Pergigian Negara, Lapangan Terbang Lama, Berakas dengan waktu pendaftaran bermula 7:45 pagi hingga 10 pagi dan 1:30 petang hingga 3 petang.

Bagi makluman orang ramai, pendaftaran ditutup pada jam-jam tertentu untuk membolehkan perawat memberi rawatan pergigian kepada para pesakit yang masih menunggu untuk dipanggil menerima rawatan selain mengemas kini catatan rekod rawatan ke dalam sistem Bru-HIMS dan pensterilan kerusi pergigian dan alat perkakas pergigian.

Bagi pesakit yang memerlukan rawatan lanjut, mereka dinasihatkan untuk menyambung atau meneruskan rawatan di klinik-klinik pergigian mengikut tadahan yang telah ditetapkan. Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi maklumat lanjut.