Khidmat pergigian sempena cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Pergigian kini sedang membukakan Perkhidmatan Pergigian bagi Pesakit Kanak-kanak semasa cuti persekolahan penggal II 1441H/2019M yang  telah bermula 7 September lalu.

Perkhidmatan berkenaan dibukakan sehingga 14 September ini (kecuali Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam) di Tingkat 1, Blok A, Pusat Pergigian Negara, Lapangan Terbang Lama, Berakas dengan waktu pendaftaran bermula 7:45 pagi hingga 10 pagi dan 1:30 petang hingga 3 petang.

Sebagai makluman, pendaftaran ditutup pada waktu-waktu berkenaan bagi membolehkan perawat memberi rawatan pergigian kepada para pesakit yang masih menunggu untuk dipanggil menerima rawatan selain mengemas kini catatan rekod rawatan ke dalam sistem Bru-HIMS dan pensterilan kerusi pergigian dan alat perkakas pergigian.

Bagi pesakit yang memerlukan rawatan lanjut, mereka dinasihatkan untuk menyambung atau meneruskan rawatan di klinik-klinik pergigian mengikut tadahan yang telah ditetapkan.

Orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut.