Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    KHM sasar empat emas di Sukan SEA 2023

    KUALA LUMPUR, 18 JULAI – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mahu menyapu bersih kesemua empat pingat emas acara hoki yang ditawarkan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.

    Timbalan Presidennya, Prof Datuk Dr S. Shamala berkata, pihaknya menyambut baik keputusan tuan rumah untuk menyenaraikan semula acara hoki padang selepas kali terakhir tersenarai pada edisi 2017 di sini serta acara hoki dalam dewan yang bakal membuat kemunculan semula selepas edisi 2019 di Manila.

    “Majlis Sukan Negara (MSN) beri sokongan kepada kami untuk menya-pu bersih empat emas malah ia memang misi yang wajib dilaksanakan di Sukan SEA 2023,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, di sini, kelmarin.

    Malaysia merupakan juara bertahan bagi kesemua acara dipertandingkan di temasya dwitahunan di Kemboja, pada Mei tahun hadapan.

    Dalam pada itu, Shamala menjangkakan tarikh penganjuran Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, akan dimaklumkan pada minggu hadapan.

    Sementara itu, beliau berkata, KHM masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan mengenai permohonan mendapatkan imbuhan buat skuad The Speedy Tigers bagi membuat persiapan ke Piala Dunia 2023 di India, dari 13 hingga 29 Januari.

    Pada 6 Julai lepas, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, dana tersebut diperlukan antaranya untuk mengambil jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi sebagai langkah meningkatkan lagi prestasi skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu sebelum beraksi di kejohanan berprestij tersebut.

    Skuad ‘Speedy Tigers’ berjaya mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia yang berlangsung di Jakarta, Mei lepas. 

    Ia merupakan kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975. – Bernama

    Prof Datuk Dr S. Shamala bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...