BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Berikutan pembukaan sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong yang bermula hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Penghubung Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, memohon kerjasama orang ramai dan pengguna untuk mematuhi arahan dan garis pandu yang dikenakan.
Kenyataan yang diterima, hari ini, menyatakan bahawa penggunaan jambatan penghubung tersebut adalah khusus untuk perjalanan yang penting sahaja (essential travel) dan perlu mematuhi nasihat dan garis pandu dari Kementerian Kesihatan termasuk mengehadkan perkumpulan orang ramai bagi mengawal penyebaran jangkitan COVID-19.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial dengan memandu secara berhemah dan cermat semasa menggunakan jambatan penghubung tersebut serta mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Lalulintas Jalan Raya (Penggal 68) demi untuk sama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dan pengguna jalan raya yang lain.
Para pengguna juga dikehendaki untuk mematuhi had laju iatu 80kmsj disebabkan masih terdapat kerja-kerja dijalankan di atas jambatan, dan tidak dibenarkan berhenti di sepanjang jalan tanpa sebab kecuali keperluan yang mustahak atau kecemasan.
