Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1441H/2020M

Khutbah Pertama

Alhamdulillah, dengan kedatangan 1 Syawal hari ini kita telah melafazkan takbir, tahmid dan tasbih sebagai tanda mengagungkan kebesaran Allah SWT setelah berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Pada hari ini, kita diharamkan berpuasa dan menghalalkan kita berbuka sebagai kurnia Allah SWT kepada kita, di atas kejayaan kita setelah berjaya menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Maka, kita sambutlah hari raya ini dengan selayaknya menurut sebagaimana yang telah diajarkan oleh ugama kita.

Di hari yang mulia lagi berbahagia ini, kita mengucapkan pula setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia nikmatNya kerana kita dapat menikmati kegembiraan berhari raya dalam suasana negara yang aman, damai dan sejahtera.

Walaupun pada masa ini, kita juga dalam suasana khuatir, bimbang dan dalam keadaan berjaga-jaga akan bahaya wabak COVID-19 yang sedang melanda.

Maka kerana itu, pada tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi ini kita berhari raya tidak seperti biasa pada tahun-tahun yang lalu. Tentu hal ini ada hikmah di sebaliknya.

Sesungguhnya kita selaku hamba Allah SWT tidak akan terlepas dari menerima sebarang ujian dan dugaan, perbezaannya hanyalah terletak pada besar atau kecil, berat atau ringannya ujian dan dugaan yang datang menimpa itu.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa bersedia menempuhi ujian dan dugaan tersebut dengan penuh ketabahan, ketenangan dan yang paling utama ialah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.

Alhamdulillah, dengan izin, kudrat dan iradat Allah SWT jua, negara kita Brunei Darussalam dengan usaha-usaha pencegahan secara bersepadu dari semua pihak telah dan akan seterusnya InsyaAllah dapat mengawal penularan wabak pandemik ini dengan berkesan.

Manakala kita pula hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan bersikap ambil mudah.

Kita hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan mengawal gerak geri terutama apabila berada di tempat-tempat awam bagi mengawal dan mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan penyakit ini dengan mengikuti dan mematuhi nasihat-nasihat yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam masa yang sama ketahuilah, doa merupakan senjata dan cara kita sebagai hamba Allah SWT untuk bermunajat denganNya.

Daripada Abdullah bin Abbas Rasulullah SAW berpesan kepadanya: Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Termizi).

Oleh yang demikian, marilah kita terus berdoa kerana dengan berdoa itu menunjukkan kita adalah hamba yang sentiasa taat dan ingat kepada Allah, lebih-lebih lagi pada ketika ini, kita dan negara kita sedang diuji dengan musibah.

Maka, sebagai orang Islam, anggaplah ujian dan musibah ini sebagai satu teguran dan peringatan daripada Allah SWT supaya kita menuruti jalan agamaNya yang sebenar dengan meneguhkan iman dan beramal ibadat hanya kerana Allah SWT semoga Hari Raya Aidilfitri yang kita raikan pada hari ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada kita semua.

Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita di negara ini dan kita semua akan mendapat perlindungan dan keselamatan yang sebenar-benarnya daripada Allah dan terhindar dari sebarang wabak, mara bahaya dan bala bencana Amin Ya Rabbal Alamin.

Khutbah Kedua

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.

Hari ini adalah hari kemenangan bagi kita semua iaitu kemenangan dalam jihad menentang hawa nafsu ketika melakukan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Oleh itu, amalan ini kita teruskan pula di bulan Syawal dengan melakukan Puasa Enam di mana pahalanya menyemai dengan puasa sepanjang tahun.

Ketahuilah, Puasa Enam ini boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang hari. Daripada Abu Ayub al-Ansari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan Puasa Enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.”

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan di dalam agama kita, menjauhi perkara-perkara yang dilarang, sentiasa taat dan patuh kepada Allah SWT dan RasulNya.

Bersempena hari yang mulia ini, marilah kita mengambil dari sudut positif akan hikmah di sebalik berlakunya jangkitan wabak COVID-19 ini. Di sebalik musibah ini, telah menjadikan hubungan Institusi Kekeluargaan menjadi semakin kukuh dan rapat.

Kita masih berpeluang mentarbiah diri untuk terus menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan.

Kita bersama keluarga di rumah telah melakukan amal ibadat sama ada yang fardu mahupun yang sunat seperti sembahyang fardu, sembahyang sunat tarawih serta sembahyang sunat witir secara berjemaah, bertadarus, qiamulail dan seumpamanya.

Oleh itu, segala didikan atau tarbiah yang telah dilaksanakan di sepanjang bulan Ramadan ini hendaklah diteruskan juga di bulan-bulan yang lain secara istiqamah. Mudah-mudahan kesungguhan dan semangat kita yang tinggi beribadat di bulan Ramadan itu akan berterusan pada bulan-bulan lain.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mensucikan hati dan jiwa dengan kembali kepada fitrah sebagaimana yang dikehendaki di dalam agama kita.

Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dipenuhi dengan rasa kesyukuran, kegembiraan, rahmat dan keredaan Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin.
– Disediakan Kem. Hal Ehwal Ugama