Kia Cerato serba baharu bakal dilancarkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Grand Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta Kia di Negara Brunei Darussalam bakal melancarkan Kia Cerato serba baharu pada 6 Ogos ini di bilik pamerannya.

Kia Cerato generasi ketiga itu telah diperkenalkan kepada media semasa sesi pandu uji yang diadakan di ibu negara, hari ini.

Kia Cerato itu merupakan model Kia pertama di Brunei yang menampilkan logo baharu Kia.

Pengenalan logo baharu itu mewakili cita-cita Kia dalam membangunkan kedudukan sebagai peneraju industri mobiliti masa depan dengan merombak hampir kesemua aspek perniagaannya.

Perubahan pada model facelift berkenaan dapat dilihat dari segi luaran termasuk rekaan lampu depan dan belakang serta gril tiger nose yang lebih kecil dan lebar.

Di bahagian dalamannya pula, brek parkir kini menggunakan jenis suis elektronik, skrin infotainmen jenis sesentuh dengan butang kawalan yang terletak dalam satu unit serta panel instrumen dan roda stereng baharu.

Bagi pasaran Brunei Darussalam, model Kia Cerato terkini itu dipasarkan dengan enjin petrol empat silinder NA 1.6 liter Smartstream yang mampu menjana kuasa 128PS pada 6,300rpm dan tork 154 Nm pada 4,500rpm.

Bagi model GT pula mampu menjana kuasa 204PS pada 6,000 dan tork 265Nm pada 4,500rpm.

Cerato standard akan dikuasai transmisi automatik enam kelajuan manakala model GT pula DCT tujuh kelajuan.

Kia Cerato generasi ketiga akan dilancarkan di Bilik Pameran Kia, esok.
Ruang dalam Kia Cerato baharu yang tampil dengan ciri-ciri terkini.