Kia Seltos tampil lebih sporty

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Grand Motors Sdn Bhd, pengedar ekslusif kenderaan Kia di Brunei Darussalam melancarkan SUV kompak yang baharu, Kia Seltos di Bilik Pameran Kia, Beribi, malam tadi.

Kia Seltos dijangka membawa kecanggihan dan ketegasan kepada segmen SUV kompak di pasaran Brunei.

Hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Urusan, Frankie Ho; Pengurus Jualan Kia Motors Corp, Ibu Pejabat Pasifik Asia Pasifik, Alwyn Ahmad Nazri; Pengarah Eksekutif, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato Dr Haji Ahmad; Ketua Jualan dan Pemasaran Baiduri Finance Berhad, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Daud; Pengarah Eksekutif, Pengiran Haji Abdul Qahar bin PSD Mejar Jen. (B) Pengiran Haji Ibnu Basit; dan Pemangku Pengarah Urusan BIBD At-Tamwil, Haji Mohd Said bin Haji Zania.

Seltos telah dicipta untuk generasi milenium, berbeza daripada pesaingnya dengan gabungan reka bentuk yang canggih, reka bentuk yang sporty serta ruang dan keupayaan SUV tradisional semuanya dalam pakej yang lengkap.

Disasarkan kepada pembeli muda dan meminati teknologi, Seltos memberikan nilai yang sangat baik yang berbaloi dengan harga kerana pelbagai ciri teknologi yang memaksimumkan kesalinghubungan (connectivity) dan keselamatan, ruang dalaman yang lapang yang menempatkan lima orang dalam keselesaan, dan tahap ruang dan fleksibiliti yang tinggi.

Kia Motors komited untuk memperluaskan rangkaian SUV bagi memenuhi keperluan pelanggan di setiap pasaran, dengan model baru yang membawa banyak kekuatan Kia dalam reka bentuk, kualiti dan teknologi ke segmen SUV kompak untuk kali pertama.

Seltos dikuasakan enjin petrol 1.6 liter MPI yang mampu memberikan pecutan sehingga 123 PS melalui transmisi automatik enam kelajuan.

Para pelanggan bolehlah mengunjungi Bilik Pameran Kia di Beribi esok dari pagi hingga petang untuk menikmati minuman ringan dan menguji pandu Kia Seltos serba baharu itu.

Sesi bergambar ramai tetamu khas bersama pembeli-pembeli pertama Kia Seltos.
Pelancaran Kia Seltos, sebuah kenderaan jenis SUV kompak yang baharu.