SPESIES Pistia stratiotes daripada keluarga tumbuhan Araceae adalah satu lagi spesies tumbuhan liar di negara kita.
Ia adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh terapung di permukaan air.
Tanaman yang popular dikenali sebagai Kiambang itu sering digunakan untuk menghiasi kolam landskap bertema Bali, tropika dan sebagainya.
Ia didapati banyak tumbuh secara meliar di alam semula jadinya seperti di kolam, tasik, lombong tinggalan, sawah padi, tali air dan sebagainya. Ia juga dikenali sebagai ‘water lettuce’ atau salad air.
Pokoknya cantik, mempunyai daun hijau yang tersusun kemas seperti sekuntum bunga namun sebenarnya ia tidak berbunga.


Pembiakan dan penanaman
Ia juga boleh didapati tumbuh meliar di beberapa negara tropika lain di Asia dan juga Afrika. Pokok Kiambang ini senang dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan anak sulur pokoknya. Biasanya daripada sisi pokok Kiambang yang dewasa akan tumbuh beberapa anak pokok yang kecil tetapi telah menyerupai pokok dewasanya.
Pada peringkat awal pertumbuhannya pokok ini bergantung sepenuhnya kepada pokok induknya untuk mendapatkan nutrien untuk tumbesarannya. Pergantungan ini akan berterusan sehingga tumbuh akarnya sendiri.
Anak pokok ini tidak akan tumbuh subur sebagai pokok baru selagi ia tidak dipisahkan dari induknya.
Air hujan adalah medium tanaman yang terbaik untuk pokok ini kerana ia tanpa klorin.
Namun, anda boleh juga gunakan air paip yang ditakung semalaman untuk menyahkan kandungan klorinnya agar Kiambang dapat timbul dengan selesa di permukaan air serta dapat menjulur akarnya yang subur ke dalamnya. Selain ditanam secara terapung ia juga boleh ditanam di tanah yang berair cetek.
Penjagaan
Anak pokok yang baru akan hidup membesar, subur dan membiak jika diberikan keperluannya.
Pokok ini juga tidak memerlukan air siraman namun pastikan medium tanamannya iaitu air tidak kering kerana keadaan ini boleh mematikannya.
Ia perlu didedahkan kepada banyak cahaya matahari untuknya hidup subur.
Sebaiknya gunakan baja khas untuk pokok air atau akuatik yang boleh dibeli dari pusat tanaman dan sebagainya.
Namun begitu, baja cecair atau baja garam larutan yang hanya perlu dilarutkan ke dalam air takungan iaitu medium tanamannya boleh juga digunakan.
Idea pameran
Ia biasanya ditanam dalam kolam buatan dan sebagainya dalam taman yang bertemakan ala Bali, Tropika dan sebagainya.
Di samping itu, ia juga sesuai ditanam dalam bekas atau pasu berisi air.
Malah untuk lebih kreatif lagi ia juga boleh diletakkan dalam pelbagai bekas air yang cantik seperti cangkir (mug) atau gelas untuk kelihatan lebih unik dan menarik.
Jangan lupa untuk meletakkan ubat mencegah pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes dalam air takungan tanaman Kiambang anda.
Pokok ini cepat membiak dan anda hanya perlu membeli beberapa pokok sahaja atau meminta daripada jiran yang ada menanamnya untuk memulakan koleksi.