Kian Meng-Pei Jing lakar kejutan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS – Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melakukan kejutan apabila menyingkirkan pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Liu Ying untuk menjuarai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 2020 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Beregu nombor 11 dunia itu memulakan saingan secara agresif untuk menjinakkan beregu pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu 21-10 pada set pertama dan ketinggalan enam mata sebelum merapatkan jurang, sekali gus berjaya mengatasi set kedua dengan 22-20.

Biarpun tertekan dengan status lawannya itu, Pei Jing berkata keazaman dan perancangan corak permainan mereka membuahkan hasil untuk muncul juara.

“Kita tak fikir banyak sama ada menang atau kalah, tetapi fokus kepada permainan kami kerana selalunya kalau prestasi bagus, kita boleh menang.” – Bernama