Kibar bendera warna minta bantuan

BANDAR GUATEMALA, 30 APRIL – Floridalma Chavez, 24, menggantung sehelai kain putih di tingkap rumahnya di Bandar Guatemala, memberitahu komuniti jiran bahawa dia dan keluarganya memerlukan bantuan di tengah pandemik koronavirus.

Dengan negara dikenakan perintah berkurung bertujuan mengawal penularan virus, menyebabkan ramai yang tidak dapat pergi bekerja, sesetengah penduduk Guatemala menggunakan sistem bendera dengan kod warna berlainan untuk meminta apa yang diperlukan oleh mereka tetapi tidak dapat mendapatkannya.

Bendera putih seperti yang digunakan oleh Chavez bermakna mereka di dalam rumah memerlukan makanan. Merah menandakan permintaan untuk ubat. Hitam ku-ning atau biru menunjukkan seorang wanita, kanak-kanak atau warga emas menghadapi risiko keganasan.

Pihak berkuasa mempromosi sistem tersebut di media sosial untuk mengurangkan penderitaan rakyat yang menganggur dan tidak mampu membeli bekalan asas.

Bendera tersebut, kebanyakannya berwarna putih, telah pun menjadi pemandangan umum di kawasan dan kampung paling miskin.

“Kami menggantung kain putih disebabkan kami memerlukan bantuan,” beritahu Chavez kepada AFP di kawasan Mexico di barat ibu negara, di mana dia tinggal. “Situasi yang kami alami sekarang adalah sukar.”

Suaminya ialah pekerja pembinaan dan tidak dapat bekerja di bawah perintah berkurung.

Dan dia sendiri tidak dapat menjual pakaian terpakai di pasar.

Keluarganya memerlukan makanan, susu dan lampin untuk tiga orang anak mereka, kata Chavez. – AFP

Seorang budak perempuan mengibar bendera putih sebagai tanda dia memerlukan makanan, di lebuh raya di Bandar Guatemala ketika pandemik COVID-19. – AFP