Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berukuran 3.7mx7.5m di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, ibu negara, pagi tadi, telah menandakan bermulanya pengibaran bendera peribadi masing-masing termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sehingga 31 Julai ini.
Upacara itu juga sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diraikan setiap 15 Julai.
Terdahulu majlis dimulakan dengan upacara penerimaan dan penyerahan bendera besar yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan disusuli dengan acara menaikkan dan mengibarkan bendera.
Seterusnya, bendera berukuran 2.5mx1.2m dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah diserahkan kepada pegawai Daerah Brunei dan Muara dan pemangku pegawai-pegawai Daerah Belait, Tutong dan Temburong.
Upacara pengibaran bendera di daerah-daerah juga diadakan dan diteruskan dengan penyerahan bendera kepada penghulu mukim.