Kids Athletic tingkat kerjasama berkumpulan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Lebih 450 orang pelajar Tahun 1 dan 2, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) menyertai Kids Athletic yang berlangsung di sekolah tersebut, hari ini.

Perasmian acara sukan di dewan sekolah berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Awang Mohammad Noh.

Turut hadir ialah Pengetua SR YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi dan Pengetua TASKA, Datin Hajah Zainab binti Haji Abdul Wahab serta ibu bapa dan penjaga murid.

Empat acara sukan telah dipertandingkan dengan menawarkan 75 pingat emas, perak dan gangsa, antaranya lari membawa bean bags di atas kepala, larian zig-zag, lari 50 meter berganti-ganti dan lari berhalangan mengharungi triangles dan membawa logs.

Jumlah kutipan pingat bagi setiap pasukan akan dimasukkan ke dalam jumlah kutipan bagi rumah-rumah sukan yang terdiri daripada rumah Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.

Antara lain tujuan acara berkenaan adalah untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang sukan selain meningkatkan kerjasama dalam perkumpulan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam diri pelajar.

Awang Mohammad Noh diperkenalkan kepada ketua rumah-rumah sukan.
Antara murid Tahun 1 dan 2 menyertai salah satu acara sukan yang dipertandingkan.