KIGS, UTB jalin kerjasama

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kolej Pengajian Antarabangsa Siswazah (KIGS) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), kelmarin, telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi menyediakan Program Permulaan UTB-SP kepada calon pelajar.

Majlis penandatanganan perjanjian itu berlangsung di Pusat Pemasaran dan Komunikasi Perniagaan (BMCC) KIGS, Kiulap di mana menandatangani bagi pihak KIGS ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Azaharaini bin Haji Mohd Jamil manakala itu, UTB diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Akademik), Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.

Penandatanganan MoA itu disaksikan oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Pengarah KIGS, Pengiran Haji Mohd Yamin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah KIGS, pegawai utama, kakitangan dan pelajar UTB dan KIGS.

Perjanjian adalah bagi Program Bridging Partners (SP) UTB-Satellite iaitu Bridging for Business (Bri BUS) yang ditawarkan oleh UTB dan KIGS.

Di bawah perjanjian berkenaan, KIGS akan menawarkan laluan kemasukan ijazah sarjana muda selama 14 minggu kepada pelajar yang mendapat A Level atau IB kurang daripada yang diperlukan bagi memenuhi syarat kemasukan minimum universiti.

Program berkenaan direka untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas, kemahiran dan pendedahan mengikuti program dan apabila tamat, pelajar akan memasuki UTB untuk menjalani program ijazah sarjana muda.

Dr Azaharaini dan Dr Hajah Noor Maya ketika bertukar-tukar dokumen perjanjian. – Gambar oleh Bahyiah Bakir