Kilafairy inginkan perubahan

Pernah digelar sebagai ‘Angelina Jolie Malaysia’, Kilafairy cukup dikenali sebagai pelakon dan penyanyi yang memiliki penampilan seksi.

Namun, pengikut Instagram (IG) anak kepada penyanyi era 1980an, Rohana Jalil ini mula perasan imej gadis ini berbeza sebaik membuka tirai tahun 2020.

Komen seperti ‘Kilafairy dah tak seksi’ dan ‘imej sudah sopan’ dilihat dikongsi pengikutnya. Ada juga yang mengandaikan Kilafairy berubah kerana bakal melangkah ke alam perkahwinan dengan kekasihnya, Sa’aid Umar Aiman.

Bertanya Kilafairy mengenai perkara itu, gadis ini mengaku dirinya makin matang.

“Pastinya perubahan itu seiring dengan kematangan diri… Ia seperti isyarat atau ‘panggilan’ kepada diri sendiri.

Kilafairy merupakan seorang pelakon dan penyanyi yang terkenal dengan imej seksi, namun kini beliau ingin berubah kerana merasakan dirinya sudah matang. – Agensi

“Dalam hidup ini, kita sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan memperbaiki diri. Ia suatu proses… Insya Allah.

“Berkat doa ibu bapa… Sempena tahun baharu 2020, saya mulakan sesuatu yang segar dan bersih,” katanya kepada media.

Kilafairy berkata, dia mahu lari daripada pandangan ramai mengenai tubuhnya yang dikatakan seksi.

Sebaliknya, Kilafairy mahu memberi tumpuan kepada karier seni dan produk makanan tambahan, Kilafit yang diusahakannya.

“Saya mahu memberi contoh yang baik kepada penyokong dan mereka yang menggunakan produk ini.

“Saya mahu jadi insan yang lebih baik. Sudah tujuh bulan saya cuba menjaga penampilan dan sebagainya, saya bukan makin muda,” katanya.

Kilafairy atau nama penuhnya, Syakila Nisha Jangir Khan berkata, ketika ini, bukan soal kecantikan luaran sahaja diberi perhatian, malah dalaman.

“Mendengar berita orang sakit dan meninggal dunia tanpa mengira usia menyedarkan saya. Melalui perniagaan yang diusahakan, saya dapat menitikberatkan soal kesihatan dalaman selain mengajak peminat menjana pendapatan,” katanya. – Agensi