‘Kilang anak damit’ diserbu di Nigeria

LAGOS, 2 DIS – Polis di Nigeria berjaya menyelamatkan 10 orang, termasuk empat orang kanak-kanak, empat wanita hamil dan dua wanita dari rumah bersalin yang tidak sah, menurut jurucakap hari ini.

Operasi dijalankan di bangunan yang digelar ‘kilang anak damit’ di kawasan Mowe di barat daya Ogun kelmarin.

“Perbuatan yang menyalahi undang-undang, pegawai kami menyerbu rumah bersalin tidak sah dan menyelamatkan 10 orang, termasuk empat kanak-kanak dan enam wanita, empat daripadanya mengandung,” beritahu jurucakap polis, Abimbola Oyeyemi kepada AFP.

Dia berkata wanita berkenaan memberitahu polis bahawa pemilik mengupah lelaki untuk menghamilkan mereka dan kemudian menjual anak baru lahir untuk mendapatkan keuntungan.

‘Kilang’ yang kebiasaannya merupakan bangunan kecil yang menyamar sebagai klinik perubatan persendirian dan menempatkan wanita hamil serta menawarkan anak damit untuk dijual.

Dalam beberapa kes, wanita muda di tahan tanpa kerelaan mereka dan dirogol sebelum anak damit dijual dalam pasar gelap. Oyeyemi berkata dua suspek, seorang lelaki berbadan tegap dan anak perempuan kepada pemilik klinik berjaya ditahan.

“Operator pusat berjaya melarikan diri tetapi kami meningkatkan usaha untuk menahannya dengan tujuan menghadapnya ke muka pengadilan,” katanya. Oyeyemi berkata operator itu pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

“Dia pernah didakwa atas tuduhan memperdagangkan manusia selepas ditahan awal tahun ini tetapi berjaya diikat jamin dan kembali menjalankan perniagaan yang sama”.

Serbuan polis ke atas unit rumah bersalin yang tidak sah itu merupakan perkara yang biasa di Nigeria, terutama di kawasan selatan. – AFP