Kilang BMW Group dijana elektrik hijau sepenuhnya

Oleh Ak Zaki Kasharan

MUNICH/DINGOLFING, 3 MAC – Pengeluaran kenderaan (EV) elektrik baharu BMW iX dan BMW i4 di kilang Dingolfing dan Munich akan dijana sepenuhnya dengan hidroelektrik serantau.

Ke arah itu, BMW Group telah menandatangani kontrak bersama Stadtwerke Munchen dan RWE Supply & Trading bagi tenaga dibekalkan melalui hidroelektrik dari sungai-sungai Isar dan Lech, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BMW Group.

Ahli Lembaga bagi Pengeluaran, Milan Nedeljkovic dipetik menjelaskan, “Kami mengambil pandangan holistik terhadap kemapanan. Jadi, daripada hanya meminimumkan pengeluaran karbon daripada pemanduan, kami berusaha untuk mengurangkan jejak karbon daripada proses pengeluaran kami.”

Kini, BMW Group telah menguasakan kilang-kilang pengeluarannya di seluruh dunia dengan elektrik hijau sepenuhnya.

“Apa yang baharu adalah fakta bahawa pada masa hadapan, kami akan mendapatkan sumber elektrik boleh diperbaharui secara langsung daripada pembekal-pembekal serantau yang berpangkalan berdekatan dengan kilang-kilang kami,” jelas Nedeljkovic.

Elektrik hijau yang diperlukan bagi pengeluaran BMW iX akan datang dari stesen-stesen jana kuasa hidroelektrik Uppenborn antara Moosburg dan Landshut manakala itu, pengeluaran BMW i4 akan dikuasakan oleh stesen-stesen jana kuasa hidroelektrik Lech di Gersthofen dan Rain.

Pengeluaran BMW iX akan dijana oleh hidroelektrik dari Sungai Isar. – Gambar serahan BMW Group