BRUSSELS, 8 OGOS – Sebuah kilang di Belgium yang dianggap sebagai kilang membuat coklat terbesar di dunia berkata ia memulakan semula operasi hari ini selepas ditutup selama enam minggu untuk membersihkan pencemaran salmonela.
Tiga daripada 24 barisan pengeluaran di kilang, bandar Wieze disambung semula dan penghantaran pertama bermula, kata Barry Callebaut, syarikat Switzerland yang mengurus kilang itu.
Kilang itu – yang membekalkan syarikat gergasi industri seperti Hershey, Nestle dan Unilever tetapi tidak kepada pengguna secara langsung – telah ditutup pada akhir Jun selepas bakteria salmonela ditemui dalam satu lot.
Barry Callebaut yang berpangkalan di Zurich berkata ia menghentikan penghantaran dan memaklumkan pelanggan tepat pada masanya untuk mengelakkan coklat tercemar dijual di kedai-kedai. Ia mengenal pasti lesitin yang ditambah untuk melembutkan tekstur makanan, sebagai sumber pencemaran, mendorong pembersihan menyeluruh berminggu-minggu.
“Kami tetap berhati-hati kerana operasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini, proses pembersihan dan pembasmian kuman memakan masa lama,” kata jurucakap Barry Callebaut, Korneel Warlop, kepada AFP.
Beliau berkata walaupun buat masa sekarang kilang itu hanya menghasilkan ‘jumlah agak rendah’, ia merancang untuk mengaktifkan semula lebih banyak barisan pengeluaran ‘beberapa minggu akan datang’. – AFP
