Kilang di India dibelenggu krisis

BAHADURGARH, INDIA, 7 JUN – Kekurangan kronik pekerja telah menjejas kilang kasut berhampiran New Delhi, salah satu daripada ribuan di India yang bergelut untuk memulakan semula operasi selepas penghijrahan beramai-ramai pekerja migran semasa lockdown virus.

India beransur-ansur berpulih daripada langkah perintah berkurung yang dikenakan pada akhir Mac tatkala pemimpin menimbang memulihkan ekonomi yang terjejas, tetapi pengeluar tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk mengendali mesin.

“Enam puluh peratus daripada pekerja kami telah pulang ke kampung. Bagaimana kami boleh mengendali unit pengeluaran dengan satu pertiga daripada tenaga kerja kami,” tanya Sanjeev Kharbanda, eksekutif kanan dengan Aqualife Industries, yang memiliki kilang kasut di utara negeri Haryana.

Kharbanda berkata unit kasut sukan syarikat itu telah terhenti kerana tidak adanya pekerja mahir yang mengendalikan mesin canggih.

“Kami hanya beroperasi dengan satu syif. Kos pengeluaran telah meningkat dan keuntungan kami merosot,” kata beliau.

Di bandar Surat di negeri Gujarat, di mana 90 peratus daripada berlian dunia dipotong dan digilap, kebanyakan kilang gagal dibuka selepas lebih dua pertiga daripada pekerja melarikan diri, beritahu presiden persatuan berlian Surat Babu Kathiriya kepada AFP. – AFP