Kilang kain musnah dijilat api

SAINT PETERSBURG, 12 APRIL – Sebuah kilang bersejarah musnah dijilat api besar di bandar kedua Rusia Saint Petersburg hari ini, mencetuskan kepulan asap hitam tebal ke udara.

Kementerian kecemasan berkata kebakaran telah meletus di beberapa tingkat bangunan Nevskaya Manufaktura di Oktyabrskaya Embankment Sungai Neva. Seramai 40 orang telah dipindahkan, sementara dua anggota bomba dimasukkan ke hospital dan hubungan terputus dengan seorang lagi anggota bomba, kata kementerian.

Kilang besar itu, didirikan sebagai pengeluar kain pada 1841, hangus terbakar, kata wartawan AFP di tempat kejadian. Kilang itu dimiliknegarakan dan dikendali sebagai entiti kerajaan semasa era Soviet, seterusnya diswastakan pada 1992.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian bangunan masih beroperasi menghasilkan kain, sementara yang lainnya disewa sebagai ruang pejabat dan sesetengah kawasan telah dikosongkan.- AFP

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran di kilang bersejarah di Saint Petersburg kelmarin. – AFP