Kilang kelapa sawit dibenarkan beroperasi – Shafie

wKOTA KINABALU, 10 APRIL – Kerajaan negeri Sabah hari ini membuat keputusan membenarkan ladang dan kilang sawit di enam daerah di negeri itu beroperasi, namun tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan memaklumkan, ladang dan kilang sawit yang dibenarkan beroperasi itu ialah di Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan.

Beliau berkata antara syarat yang ditetapkan ialah ladang dan kilang sawit itu tidak mempunyai kes positif COVID-19; tiada individu dalam siasatan COVID-19 (PUI COVID-19); pekerja ladang dan kilang tiada kontak rapat dengan pesakit COVID-19 atau PUI COVID-19.

Selain itu, mereka juga perlu mematuhi panduan pengoperasian ladang semasa wabak COVID-19, yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walau bagaimanapun, jika sekiranya ladang dan kilang sawit yang sedang beroperasi itu didapati mempunyai kes positif COVID-19 seperti yang disyaratkan, kebenaran akan ditarik balik dengan serta merta,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji semula kebenaran operasi ladang dan kilang sawit di negeri itu, dari semasa ke semasa. – Bernama