BRUSSELS, 17 JUN – Setelah dilanda kes pencemaran Salmonella dalam coklat Kinder yang dijual di Eropah, kilang Belgium tersebut akan dibuka semula dengan beberapa bersyarat selepas kerja pembersihan selesai oleh pemilik Ferrero, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan kelmarin.
Sementara itu, Agensi Persekutuan bagi Keselamatan Rantai Makanan (FASFC) Belgium “telah memutuskan untuk memberi Ferrero kebenaran bersyarat kepada kilang pengeluarannya di Arlon,” di tenggara negara itu, katanya dalam satu kenyataan.
Kebenaran berkenaan berkuat kuasa selama tiga bulan, di mana semua produk akan dianalisis sebelum ia boleh diedarkan dan dijual, tambahnya.
Ferrero dipaksa mengeluarkan lebih 3,000 tan produk Kinder bernilai berpuluh juta euro selepas kes Salmonella dikesan dalam coklat Kinder yang dibuat di kilang Arlon.
FASFC telah mengarahkan kilang tersebut untuk ditutup pada awal April lalu, sejurus sebelum tempoh Easter yang biasanya menyaksikan produk Kinder laris dijual di pasar raya.
Hampir 400 kes Salmonella akhirnya dikesan di seluruh EU dan Britain, kebanyakannya pada kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tidak ada kes kematian dicatatkan akibat jangkitan tersebut. Gejala pencemaran Salmonella termasuk cirit-birit dan muntah yang teruk dan amat berbahaya bagi kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.
Ferrero, gergasi manisan Itali yang turut membuat coklat Nutella, berkata, ia telah memulakan proses membuka semula kilang Arlon dan menjangkakan pengeluaran akan dimulakan semula dalam beberapa minggu.
Ia turut menegaskan bahawa ia telah melakukan “kerja pembersihan menyeluruh” kilang itu, yang mempunyai kira-kira 1,000 orang pekerja dan mengambil langkah supaya pencemaran seumpamanya tidak akan berlaku lagi. Ia juga berkata pencemaran berkenaan berkemungkinan berpunca daripada penapis dalam tangki tenusu yang terdapat di kilang tersebut. – AFP