SANDAKAN, 21 Julai – Kilang Kitar Semula Kompos di Batu 8 dekat sini memproses 13 tan sisa pepejal setiap hari untuk dijadikan baja bio-organik.
Kilang tersebut yang beroperasi sejak Mac 2015 adalah yang pertama di negara ini memproses sisa makanan, haiwan dan organik menggunakan sistem teknologi mikro organisma.
Pembukaan kilang itu oleh syarikat SS Microbial Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi mengatasi masalah pembuangan sisa pepejal di daerah ini.
Penolong Setiausaha Operasi MPS Mansor Mohd Kawi berkata MPS menghantar sisa pepejal ke kilang itu membabitkan sisa makanan yang dikutip secara berjadual setiap hari dari premis makanan, pasar am, kilang makanan laut dan asrama institusi pengajian tinggi di daerah ini.
Katanya bagi meningkatkan penghantaran sumber sisa makanan ke kilang itu, MPS turut memperluaskan kutipan sisa makanan ke kawasan Taman Program Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya pada masa sekarang ia membabitkan empat PPR iaitu Taman Harmoni, Taman Mesra, Taman Murni dan Taman Lintas Batu Sapi. – Bernama